Edge berhujah untuk batal perintah penggantungan
Keputusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan untuk menggantung penerbitan The Edge Communications Sdn Bhd selama tiga bulan adalah tidak rasional dan tidak munasabah, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Peguam utama The Edge, Darryl Goon, ketika berhujah supaya perintah itu dibatalkan, berkata terdapat 300 artikel di mana penerbitannya, The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly telah diterbitkan tentang 1MDB. Bagaimanapun mereka tidak diberitahu yang mana yang ofensif.
Tambahan pula, beliau berkata tidak ada larangan ke atas perkataan 1MDB atau ia diwartakan oleh menteri untuk mengharamkannya dan penerbitan lain terus menggunakannya, atau melaporkan mengenainya.
"Penggantungan itu didakwa dibuat berdasarkan Seksyen 7 (1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak kerana penerbitannya didakwa memudaratkan keselamatan awam. Tetapi di bawah Seksyen 7 (1) kata-kata yang digunakan mesti diwartakan, dengan perintah menteri.
"Tidak ada pewartaan perintah secara langsung atau tidak langsung terhadap 1MDB, dan oleh itu tidak berlaku pelanggaran Seksyen 7 (1)," tambahnya.
Oleh itu, katanya, The Edge tidak mungkin melakukan pelanggaran itu kerana tidak ada perintah tersebut.
Oleh itu, penggantungan itu adalah tidak sah dan melanggar kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, hujah Goon.
The Edge telah diarahkan digantung penerbitannya dari 27 Julai hingga 27 Oktober oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad mendengar hujahan hari ini dan akan menyampaikan keputusannya pada 21 September. Mkini English
Sementara itu Bernama melaporkan, Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke berhujah bahawa laporan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily mengenai isu 1MDB adalah berdasarkan sumber yang diragui.
Loke yang mewakili Kementerian Dalam Negeri juga berkata laporan oleh dua penerbitan itu bersifat provokasi, mencetuskan kontroversi dan berkecenderungan untuk mempengaruhi pembaca.
"Berikutan laporan provokasi mengenai 1MDB dan bahaya yang mungkin timbul daripada laporan itu, menteri menjelaskan adalah penting untuk menyiasat sumber maklumat yang diterima oleh pemohon.
"Beliau perlu pastikan bahawa dalam menerbitkan artikel mengenai 1MDB, pemohon bergantung pada sumber-sumber yang sahih. Oleh kerana 1MDB telah menarik banyak kritikan dan komen negatif, perintah penggantungan dibuat demi kepentingan awam untuk mencegah peningkatan rasa khuatir dalam kalangan orang awam, terutamanya sentimen ini telah didorong oleh berita berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang diragui. Keadaan ini mungkin akan menjejaskan ketenteraman awam," katanya dalam hujahan beliau di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.
Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd memperoleh kebenaran untuk memohon semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily oleh Kementerian Dalam Negeri.
Loke juga berkata laporan The Edge Communications Sdn Bhd mengenai 1MDB seolah-olah menunjukkan bahawa hanya terdapat satu kesimpulan iaitu sama ada berlaku salah pengurusan.
"Menteri dengan itu, bertindak wajar apabila membuat keputusan untuk menggantungnya. Orang ramai berhak untuk tahu hasil siasatan yang telahpun bermula, dan bukannya membuat kesimpulan awal dan tidak matang berdasarkan apa yang dibaca dalam laporan provokasi berhubung isu itu," katanya.
Lagipun, katanya pemohon telah gagal menjawab notis yang meminta keterangan tentang sumber kepada maklumat diperoleh pemohon bagi artikelnya mengenai 1MDB.
Syarikat telah memfailkan permohonan untuk kebenaran bagi semakan kehakiman pada 27 Julai, dengan menamakan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
The Edge Communications Sdn Bhd memohon kebenaran itu untuk memulakan prosiding di bawah Perintah 53, Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012 bagi perintah certiorari untuk mahkamah membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri itu.
Syarikat itu juga memohon perintah sementara bagi penangguhan pelaksanaan perintah keputusan itu, sementara menunggu sehingga selesainya pendengaran bagi permohonan itu dan kos.
Menteri Dalam Negeri, dalam surat bertarikh 23 Julai yang ditandatangani oleh Hashimah Nik Jaafar bagi pihak menteri, memaklumkan syarikat itu tentang penggantungan permit penerbitan bagi kedua-dua penerbitan.
Menurut surat yang dihantar kepada editor kanan pengurusan syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris, kementerian menyatakan artikel mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh The Edge boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara.
Ia juga menyatakan kegagalan untuk mematuhi perintah penggantungan itu akan membawa kepada pembatalan permit penerbitan bagi kedua-dua penerbitan itu.
Mahkamah menetapkan 21 September untuk keputusan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.