Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mesyuarat biro politik Umno semalam dilaporkan lebih banyak membincangkan soal perhimpunan BERSIH 4 dan juga perhimpunan kumpulan baju merah, yang disebut-sebut sebagai Himpunan Maruah Melayu.

Menurut laporan, mesyuarat tersebut tidak membangkitkan isu jawatan timbalan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.

Nasib kedua-duanya hanya akan ditentukan dalam mesyuarat majlis tertinggi, esok.

Datuk Seri Najib Razak sehingga kini masih belum membuka mulut kepada umum mengenai Himpunan Maruah Melayu16 September namun Umno sudah menyatakan sokongan.

Setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, parti itu memberi kebebasan kepada anggotanya untuk menyertai himpunan pada Hari Malaysia itu.

Anggota majlis tertinggi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengaku akan menggembleng anggota parti untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan yang kononnya sebagai reaksi balas ke atas perhimpunan BERSIH 4, yang banyak dihadiri oleh peserta masyarakat Cina.

Ini adalah perkara yang menghairankan. Parti dipimpin oleh perdana menteri Malaysia menggalakkan ahlinya menyertai perhimpunan yang tidak dapat dipastikan penganjurnya.

Kita tahu, PAS tidak menggembleng ahlinya yang rata-rata Melayu-Islam untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.

Kita tahu PAS sudah berputus arang dengan DAP. Pemimpin PAS tidak tunjuk muka dalam perhimpunan selama lebih dua hari itu.

Yang sanggup menunjukkan muka dan memberi sokongan dalam BERSIH 4 hanyalah pemimpin yang ditendang keluar oleh PAS.

Kita juga tahu bahawa Umno giat menyumbang dalam kempen berkenaan isu hudud sehingga PAS dan DAP bergeser.

Umno kini mendapat sedikit keuntungan apabila Pakatan Rakyat runtuh-rantah. Pemimpin PAS yang ditendang daripada parti itu kini mengusahakan Gerakan Harapan Baru. Serpihan PAS ini masih baru.

Walaupun tokoh di dalamnya sudah lama dalam politik, rata-rata orang masih belum kenal jenama baru ini.

Mungkin disebabkan faktor itu, tidak ramai orang Melayu yang turun ke perhimpunan tersebut untuk mendesak Najib meletak jawatan.

Oleh sebab itu, tidaklah melampau jika dikatakan bahawa kemerosotan penyertaan kaum ini turut disumbang oleh usaha politik Umno dan BN sendiri.

Jumlah penyertaan orang Melayu hanya dilihat meningkat pada hari kedua perhimpunan pada 31 Ogos. Itupun selepas bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan muka dan meminta aksi tersebut diteruskan.

Lalu para peserta berhimpun dalam suasana aman – tanpa kekasaran polis – sambil menyatakan tuntutan agar Najib berundur.

Berbalik kepada Najib, kita berharap agar perdana menteri itu mampu menyatakan sesuatu kepada rakyat umum berhubung perhimpunan baju merah ini.

Najib selaku presiden Umno perlu memberi isyarat yang jelas dan turut menyatakan tujuan parti itu menyokong perhimpunan tersebut.

Ramai pihak tertanya-tanya, apakah tuntutan perhimpunan baju merah ini? Siapa kepalanya? Adakah ia hanya diadakan untuk memomokkan orang Melayu dan Cina?

Najib sering menyebut rumus-rumus dengan akronim hebat seperti KPI, NKRA, NKEA dan GTP sebagai pemandu tindakannya.

Maka, kaedah menyeru hantu momok yang tidak diketahui asal-usul seperti baju merah ini bertentangan dengan pendekatan empiris tersebut.

Kita dapat mengesan bahawa bahan publisiti yang mempromosi perhimpunan 16 September itu sudahpun berlegar di medan maya.

Antaranya adalah satu imej poster yang mengandungi ancaman ke atas golongan peserta perhimpunan BERSIH dari golongan Cina.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab menerbitkan bahan publisiti tersebut – yang kini disiasat polis mengikut Akta Hasutan.

Juga, setakat ini, belum ada pihak yang tampil untuk menafikan bahawa perhimpunan 16 September itu bukanlah seperti yang digambarkan dalam poster berkenaan.

Najib yang juga perdana menteri, setakat ini, nampaknya masih belum membuat apa-apa kenyataan yang mengutuk mesej ganas seperti itu.

Kita masih ingat bagaimana Najib menyalahkan 'tsunami Cina' apabila BN hampir putus nyawa dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kenyataan itu tidak diterima dengan baik oleh masyarakat Cina dan sekutunya sendiri dalam BN.

Kita sudah melihat betapa masyarakat Cina gelisah dengan Himpunan Maruah Melayu. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai beberapa hari lalu berkata, himpunan baju merah itu akan mengeruhkan hubungan kaum.

Perhimpunan BERSIH 4 hujung bulan lalu berlangsung dengan aman. Tiada mana-mana individu dihambat, dipukul atau disembur air kimia.

Mereka turun dengan slogan menuntut Najib berundur. Namun kita tidak dapat menjangka slogan apa yang akan dilaungkan oleh para peserta perhimpunan 16 September.

Melihat kepada tokoh Umno yang menyokong perhimpunan tersebut, nyatalah, secara tidak langsung perhimpunan berkenaan adalah untuk menyatakan sokongan kepada Najib.

Yang pasti, momok kaum melalui perhimpunan tersebut tidak akan menguntungkan Najib. Imej inklusifnya akan hancur lebur dan beliau akan ditelan oleh momoknya sendiri.


SALHAN K AHMAD anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS