Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib tak halang ahli Umno sertai himpunan 16 Sept

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata anggota Umno bebas untuk menyertai perhimpunan 'Baju Merah' pada 16 September ini tetapi mengingatkan mereka supaya patuh kepada undang-undang.

Beliau berkata undang-undang yang sedia ada yang akan digunakan oleh polis dalam perhimpunan untuk membantah himpunan BERSIH 4.

"Tidak, (saya tidak halang anggota Umno sertai himpunan itu).

"Negara ini bebas selagi mereka mematuhi undang-undang. Tiada siapa yang mengatasi undang-undang, termasuk anggota Umno. Mereka tidak boleh mengatasi undang-undang.

"Kita mempunyai undang-undang, kita mempunyai polis, selagi Kabinet mengambil maklum mengenai siapa yang mahu mengadakan sebarang himpunan yang mengikut peraturan dan apa sahaja arahan daripada polis," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. [Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan Umno tidak terbabit dalam penajaan satu perhimpunan yang dirancang di ibu negara pada 16 Sept ini, kata Najib.

Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berkata pendirian parti adalah jelas - setiap anggota perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dan ketenteraman serta keamanan negara perlu terus dipelihara.

"Pendirian Umno, kita mesti patuh kepada undang-undang negara termasuk arahan daripada pihak polis," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu negara hari ini.

Tegasnya, Umno tidak boleh kompromi dalam soal menjaga keamanan dan ketenteraman negara.

"Kita tidak boleh jadikan ia (perhimpunan itu) sebagai platform yang berbaur perkauman. Ini kita tolak sama sekali," katanya.

Polis tidak membenarkan 'Perhimpunan Rakyat Bersatu' yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 16 Sept ini atas implikasi keselamatan.

Tegas Najib, Umno berada di atas prinsip yang sentiasa berdiri sebagai satu parti bersama rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan mementingkan hubungan antara kaum yang perlu disemai dan terus dipelihara.

"Kita percaya kepelbagaian kaum adalah hubungan dan asas yang penting dalam menentukan kekuatan negara ini. Jadi, perkara ini yang saya tekankan," katanya.

Lihat Komen
ADS