Mahkamah benar penulis cabar pengharaman novel

   

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penulis terkenal Faisal Tehrani mencabar pengharaman empat novelnya yang sebelum ini dikaitkan dengan fahaman Syiah.

Kebenaran untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan itu diberikan oleh hakim Datuk Asmabi Mohamad hari ini.

Faisal Tehrani menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai responden tunggal.

Empat novel Faisal yang diharamkan sebelum ini adalah Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah.

Dalam notis permohonan semakan kehakiman, Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa diberi kebenaran untuk memohon semakan bawah Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Aturan itu merupakan satu perintah certiorari (larangan) bahawa Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak diingini) (No2) 2015 yang dibuat oleh responden pada 12 Februari 2015 dialih ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan serta-merta.

Malah, deklarasi perintah tersebut juga tidak sah dan terbatal serta tidak terkesan kerana ultra vires Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 3012) bertentangan dengan Artikel 8(1) dan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Faisal seorang penulis prolifik kelahiran Melaka yang telah memenangi pelbagai anugerah sastera di negara ini.

Antara anugerah yang dimenangi ialah Anugerah Seni Negara pada 2006.

Novel terbarunya Perempuan Nan Bercinta dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana juga diharamkan.

Beliau bagaimanapun tidak mencabar pengharaman karya itu.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In