Kelemahan ringgit positif pada Amcorp Properties

Bernama        

Kelemahan ringgit memberi kesan kepada Amcorp Properties Bhd (AmProp) secara positif memandangkan syarikat menjangka perolehan yang lebih tinggi daripada usaha niaga luar negara.

Pengarah Urusan Ben Lee Keen Pong berkata AmProp telah berkembang ke bandar-bandar seperti London dan Tokyo, yang menjadi tempat tumpuan pelabur antarabangsa.

Beliau berkata di London, nilai pembangunan kasar projek syarikat yang sedang dilaksanakan kira-kira RM1.4 bilion.

"Projek itu dijangka siap pada akhir 2016 apabila keuntungan akan diperakui," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata dengan peningkatan nilai pound, perolehan akan meningkat tetapi akan hanya dapat dinilai apabila keuntungan diperakui.

Mengenai masa hadapan, Lee berkata, walaupun pinjaman dalam pound, pelaburan syarikat itu tidak memerlukan sebarang perlindungan nilai kerana kumpulan akan mendapat perolehan dalam mata wang yang sama serta mempunyai pound yang mencukupi untuk memenuhi komitmen modal.

Mengenai perniagaan dalam negeri kumpulan, beliau berkata, nilai pembangunan kasar bagi projek yang sedang dilaksanakan berjumlah RM270 juta berasaskan fasa yang dilancarkan bagi Perbandaran Sibu Jaya.

Perbandaran Amprop Sibu Jaya terdiri daripada kira-kira 279 hektar dan jumlah simpanan tanah kumpulan setakat ini ialah kira-kira 392.5 hektar, katanya.

"Kumpulan turut meninjau untuk memindah usahanya yang berjaya ke dalam model perniagaan segmen tenaga boleh diperbaharui untuk berkembang ke luar negara terutama negara-negara ASEAN, katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2015, keuntungan sebelum cukai kumpulan itu susut kepada RM41.20 juta daripada RM153.73 juta setahun.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM173.61 juta daripada RM170.19 juta sebelumnya.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In