PAS dakwa Umno guna muslihat pengaruhi pengundi baru
PAS mengakui bahawa parti itu kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu kerana kehilangan sokongan kumpulan muda Melayu yang berjaya dipengaruhi untuk menyokong Umno "melalui cara yang meragukan".
Ini diakui sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu bagi membincangkan hasil siasatan serta perakuan dalam laporan post-mortem berhubung keputusan pilihanraya umum lalu.
Bercakap dalam sidang media semalam, Abdul Hadi berkata, Dewan Pemuda PAS menyedari parti itu kekurangan sokongan pengundi muda manakala sebahagian besar pengundi baru menyokong Umno.
"Umno melalui kerajaan dan Puteri Umno dapat menembusi universiti dan sekolah-sekolah, sedangkan kami (sebagai sebuah parti politik) dilarang berbuat demikian. Ini memberi kesan kepada pengundi baru ini," katanya.
PAS, katanya, tidak dapat berbuat banyak untuk memecahkan monopoli pengaruh Barisan Nasional (BN) terhadap pengundi muda, selain daripada bekerja keras untuk memastikan mesej yang diperjuangkan parti itu sampai ke peringkat akar umbi.
Abdul Hadi juga menegaskan bahawa parti itu tidak perlu membuat perubahan dalam strateginya, sepertimana yang dicadangkan oleh sesetengah pihak, supaya menarik sokongan pengundi muda kepada parti itu.
"Strategi kita sudah betul. Kita hanya perlu lebih masa untuknya sampai ke peringkat akar umbi," katanya.
Menurut laporan sebelum ini, PAS kehilangan sokongan kira-kira 60,000 pengundi golongan muda Melayu yang dipercayai menjadi punca PAS kalah di Terengganu dan hampir kehilangan Kelantan kepada BN.
Pindah pengundi
Abdul Hadi juga berkata, siasatan jawatankuasa post-mortem tersebut juga tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan sikap konservatif parti itu seperti dalam isu hak wanita dan hak asasi yang lain, menjadi punca kekalahan PAS.
Katanya, sokongan daripada penyokong setia parti itu juga tidak berubah, malah jumlahnya semakin bertambah di beberapa tempat, terutama di Johor dan Negeri Sembilan, termasuk di kawasan majoriti bukan Islam.
Abdul Hadi juga mendakwa antara taktik-taktik lain yang digunakan oleh Umno itu termasuklah berpakat dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Beliau mendakwa Umno dapat menentukan kedudukan pengundi baru, termasuk memindahkan mereka dari kawasan kubu kuat PAS untuk mengurangkan sokongan kepada parti pembangkang itu.
Sebagai contohnya, katanya, peratusan pengundi di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah amat luar biasa sehingga mencapai hampir 80 peratus, sedangkan di negeri-negeri lain, paling ramai ialah 70 peratus atau 60 peratus sahaja yang keluar mengundi.
Di beberapa tempat lagi, tegasnya, undang-undang pilihanraya tidak dipatuhi apabila tempoh masa pendaftaran pengundi telah dilanjutkan bagi membolehkan lebih ramai penyokong Umno mendaftar sebagai pengundi.
"Bila mana mereka berasakan tidak mempunyai cukup undi, mereka akan melanjutkan tempoh masa tersebut (pendaftaran). Ini melanggarkan undang-unadng pilihanraya...ini tidak sah," katanya.
Menurut Abdul Hadi lagi, hasil siasatan yang terkandung dalam laporan post-mortem itu akan dibincangkan oleh ahli-ahli parti itu dalam munaqashah (perhimpunan) yang akan diadakan pada 18 dan 19 Disember ini.