Aylan Kurdi lebih bernasib baik

Al-Abror Mohd Yusuf        

Kalaulah Abdullah Kurdi mengikut gerak hatinya pada awal pagi itu...

Memang bot getah itu sepatutnya berisi lapan atau kurang daripada sepuluh orang penumpang. Namun pada awal pagi itu ada antara 12 hingga 16 orang di dalamnya ketika ia bergerak meninggalkan pantai Bodrum di Turki.

Antara yang ada di dalam bot getah itu ialah Aylan (atau Alan), abangnya Galib dan ibu mereka Rehana.

Jika Aylan tersenyum ketika bot itu bergerak, kemungkinan besar ia adalah senyuman terakhir untuknya ketika ia bernafas.

Kira-kira lima minit kemudian bot itu dihempas ombak dan penumpang serta dua ejen mengendalikan perjalanan pelarian itu tercampak ke Laut Aegean.

Kira-kira jam 5 pagi pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan menyelamat. Ia barangkali bukan yang pertama dan terakhir kejadian seumpama itu berlaku.

Namun apabila imej mayat Aylan tertiarap di pantai keesokan harinya tersebar ke serata dunia, barulah orang ramai sedar ada ribuan Aylan lain sedang dan telah menggadai nyawa untuk lari daripada konflik berpanjangan di Syria.

Memang ada pelbagai versi cerita yang mendorong Abdullah membawa isteri dan dua anaknya menaiki bot getah itu.

Begitu juga ada pelbagai persoalan yang boleh dibangkitkan, daripada kewajaran Abdullah membawa keluarganya meredah laut di awal pagi hinggalah kesahihan ceritanya mahu mencari hidup baru di negara asing.

Tidak ketinggalan, justifikasi gambar Aylan yang tertiarap itu dirakam dalam keadaan amat sayu. Sesetengah pihak mempertikaikan ketulenan gambar itu – sama ada ia memang semula jadi atau diusik sebelum dirakam kamera.

Ia adalah persoalan yang boleh diperdebatkan selama mana pun.

Apa yang kurang diperhatikan ialah titik tolak yang membawa kepada tragedi itu. Ia bukan sekadar usaha pemberontak mahu menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, atau pengeboman berterusan bandar Aleppo.

Ia menjangkau lebih jauh daripada sekadar tentang militan Negara Islam (IS) yang menguasai Kobani serta reaksi tentera bersekutu mengebom bandar itu untuk menumpaskan pemberontak.

Ia juga bukan tentang apa yang sepatutnya dibuat oleh kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan. Konflik Sunni-Syiah atau masalah puak Yazidi.

Akar kepada semua kemelut itu terarah kepada suatu titik, 14 tahun lalu.

Anda mungkin sedang menikmati teh tarik dan roti canai atau sedang berbalas hujah mengenai senario politik semasa pada malam (waktu Malaysia) 11 September 2001 apabila berita menggemparkan itu tersebar.

Tidak pernah dalam sejarah krisis dunia ada kapal terbang awam dipandu untuk merempuh menara bangunan secara sengaja.

Pada tarikh itu pagi di Manhattan, New York City bukan lagi pagi yang biasa. Keadaan sama melanda beberapa lokasi lain termasuk Arlington County, Virginia.

Sejak itu pola dan tatacara politik dunia berubah sama sekali.

Israel dan Palestin memang masih bercakaran tetapi sebelum 11 September 2001 tidak ramai yang mengenali Osama bin Laden atau Khalid Sheikh Mohammed, kecuali mungkin ejen perisik AS dan sekutunya.

Begitu lebih tidak dikenali ialah individu seperti Marwan al-Shehhi, Fayez Banihammad, Hamza al-Ghamdi dan rakan sekutu mereka.

Korban terawal pascartragedi itu ialah Afghanistan, kemudian Iraq dan rantau Timur Tengah secara umum.

Saddam Hussein dan Osama sekadar menjadi sebahagian daripada ramuan mengolah persetujuan warga dunia untuk tidak membantah secara keterlaluan terhadap gerakan antipengganas yang digerakkan Washington.

Sesiapa yang melihat krisis Syria ketika ini secara terpisah daripada insiden 14 tahun lalu adalah silap.

Meratapi kematian Aylan tanpa menyalahkan serangan (dan punca serangan) ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York City itu juga suatu kesilapan.

Negara Barat mungkin kelihatan lebih manusiawi apabila membuka pintu sempadan masing-masing lebih luas bagi menerima kemasukan pelarian.

Namun ia tetap tidak dapat menebus kerakusan mereka merelakan perang ke atas 'pengganas' yang secara umum diakui sengaja dibiakkan.

Pada masa sama, persengketaan antara mazhab membuta tuli, fanatik dan bebal dalam Islam kekal menyumbang kepada kemusnahan lebih teruk tragedi kemanusiaan sekarang.

Ketika Barat cuba membasuh darah orang awam yang ada pada tangan masing-masing pemimpin negara umat Islam sibuk dengan kerakusan terhadap kuasa.

Barangkali dalam keadaan ini Aylan sebenarnya lebih bernasib baik.


AL-ABROR MOHD YUSUF anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In