Khutbah tegur pemimpin komen agama lain sesuka hati

   

Khutbah Jumaat hari ini mengetengahkan isu perpaduan dan tolak ansur bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.

Bersempena sambutan Hari Merdeka Rabu depan, khutbah menegur pemimpin yang memberi komenter terhadap agama lain sesuka hati di media sosial.

“Manakan tidak, ada kalangan pemimpin yang sewenang-wenangnya memberikan komentar tentang amalan-amalan dan pegangan agama lain.

“Begitu juga di kalangan masyarakat yang sesuka hati memuat naik lakonan-lakonan yang dirakam melalui you tube dengan niat istihza’ iaitu memperolok-olok, mempermain-mainkan dan menghina amalan agama lain,” kata mimbar.

Khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menegaskan bahawa Islam mengajar erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan.

Umat Islam juga diseru supaya menghormati amalan agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat.

Khutbah untuk masjid-masjid di Wilayah Persekutuan juga menyebut, menjadi tanggungjawab pihak berwajib dan umat Islam amnya memberi penjelasan dengan nasihat yang baik dan penuh kebijaksanaan.

“Dalam kita berhujah memberi penjelasan dan mencari kebenaran janganlah sekali-kali dituruti dengan kata-kata kasar yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

“Jika kita tidak rela agama kita dicaci dan dicerca maka janganlah kita mencerca amalan agama lain,” katanya.

Khutbah hari ini bertajuk “Bersatu mengikat tambatan perpaduan”.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In