Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Golongan pendidik mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana tambahan untuk alat bantu mengajar bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membolehkan pelan pendidikan percuma disertakan dalam belanjawan 2016.

Pembentangan belanjawan dijadual dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di parlimen 23 Oktober ini.

Malaysiakini menemuramah beberapa pendidik dalam sektor kerajaan dan swasta untuk memahami apa yang dirasai mereka.

Tinjauan mendapati golongan terbabit meluahkan masalah sama - terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli kemudahan seperti komputer riba, projektor dan pemain cakera untuk pembelajaran.

Namun mereka enggan dikenali kerana bimbang akan diambil tindakan oleh kerajaan kerana mengeluarkan kenyataan kepada media.

Seorang guru di Kedah berpendapat pelan pendidikan di luar bandar perlu disamaratakan seperti di bandar.

Beliau yang mengajar di sekolah kebangsaan bantuan kerajaan berkata, dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli alat bantu mengajar.

“Dari segi kemudahan pembelajaran, banyak kekurangannya. Kalau boleh nak boleh ikut pelan pembangunan pendidikan yang sama seperti bandar.

“Kami menggunakan duit sendiri untuk beli bahan mengajar walaupun sepatutnya dana itu daripada kerajaan.

"Kami tak tergamak nak tengok pelajar mengikuti pembelajaran tanpa bahan sepatutnya. Sebaliknya, kami ini nak makan pun tidak berapa ada duit,” katanya kepada Malaysiakini .

Kemudahan ada tapi terhad

Seorang sekolah menengah di Langkawi pula berkata kemudahan alat bantuan haruslah diberikan oleh kerajaan memandangkan kini hampir kesemua subjek memperuntukkan penggunaan alat tersebut.

Guru berusia 29 tahun itu menambah, oleh kerana kemudahan dibekalkan terhad, beliau mencadangkan ia diperbanyakkan selaras dengan pembangunan teknologi dan multimedia.

“Kemudahan ICT setiap kelas ada satu jadi tidak boleh mengharapkan guru untuk beli sendiri kemudahan itu.

“Sekarang ada kemudahan, tetapi terhad. Sekiranya alat tersebut dapat digunakan, pelajar akan mudah mengakses maklumat, mengikut perkembangan semasa dan berdaya saing.

“Jika kemudahan teknologoi tidak berubah selaras dengan perkembangan sistem pendidikan, kita akan tertinggal," katanya yang sudah tiga tahun mengajar.

Bagi pensyarah universiti di Kuala Lumpur, beliau mencadangkan kerajaan memberi dana intensif kepada institusi pengajian swasta memandangkan mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara.

Katanya, hasil diperoleh kerajaan daripada bidang pendidikan wajar digunakan untuk bidang penyelidikan dan menambahbaikkan pembelajaran di kolej swasta.

“Kolej swasta perlu membayar yuran tinggi tetapi ia sebenarnya memberi pulangan kepada kerajaan. Kenapa tidak kerajaan memberi dana untuk menyelidik dan menambah baik mutu pendidikan?

“Selain itu, kita juga mahu menambah baik teknologi ICT," kata wanita berusia 55 tahun itu.

Untuk ibadah apa salahnya

Guru di Sungai Besar, Selangor pula mencadangkan elaun tambahan sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pendidik yang memegang jawatan khusus akademik, kokurikulum dan ketua panitia.

Alasan beliau, guru seumpama itu memperuntukkan tenaga dan masa yang lebih untuk bekerja.

“Mereka merancang dan menyelaras program kecemerlangan sekolah. Dengan adanya elaun, mereka boleh bekerja lebih kreatif dan bersungguh-sungguh.

"Elaun dicadangkan sebanyak RM200 setiap bulan,” katanya yang sudah mengajar selama 22 tahun.

Sementara itu bagi seorang guru wanita yang mengajar di Lunas Jaya Kedah pula mencadangkan agar cuti bagi menunaikan ibadah haji ditetapkan selama 60 hari kerana ianya hanya sekali sahaja diberikan sepanjang perkhidmatan.

Katanya, sebelum ini cuti bagi tujuan itu tidak cukup dan ada antara guru yang terpaksa menambah cuti menggunakan cuti kecemasan bagi menunaikan haji.

“Ada yang dapat cuti haji selama 42 dan 46 hari saja tetapi ia tidak mencukupi. Saya rasa cuti ini perlu diselaraskan kerana ada guru kena ambil cuti tambahan.

“Kalau cuti bersalin boleh beri 90 hari, mengapa cuti untuk buat ibadah tidak boleh 60 hari?” kata guru yang telah mengajar selama 25 tahun itu.

Isnin lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan mengenai belanjawan sebelum 15 September ini untuk dimasukkan ke perancangan Bajet 2016.

Najib yang juga menteri kewangan, berkata cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.

Lihat Komen
ADS