Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Ekonomi M'sia lebih baik, berbeza dari krisis 1998
Diterbitkan:  Sep 14, 2015 5:18 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Kedudukan ekonomi Malaysia kini lebih baik dan jauh berbeza daripada ketika negara mengalami krisis kewangan Asia pada 1997/1998, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata struktur ekonomi negara telah dipelbagaikan, dengan sektor berasaskan komoditi seperti pertanian dan perlombongan, termasuk minyak dan gas, kini menyumbang hanya 18.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar berbanding 26.9 peratus pada 1998.

"Kejatuhan nilai ringgit dijangka tidak memberi kesan yang besar kepada jumlah hutang kerajaan persekutuan memandangkan 59 peratus daripada jumlah hutang berkenaan adalah dalam denominasi ringgit, dan sebahagian besarnya dibiayai daripada sumber tempatan," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan langkah-langkah proaktif ekonomi di Putrajaya hari ini.

Ekonomi negara terus berkembang dengan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015 dan dijangka akan mencapai sasaran pertumbuhan yang masih kukuh antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2015, kata beliau.

Bagi tahun 2016, ekonomi negara dijangka terus berkembang berbanding dengan penguncupan atau negatif 7.4 peratus pada 1998, jelasnya.

Najib yang juga menteri kewangan berkata kadar inflasi juga masih terkawal pada kadar 3.3 peratus, walaupun mengalami sedikit peningkatan berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding 5.3 peratus pada 1998.

Manakala kadar pengangguran juga stabil pada kadar 3.1 peratus pada Jun, iaitu masih pada tahap guna tenaga penuh, kata beliau.

Perdana Menteri berkata terdapat pelbagai cabaran lain yang dihadapi negara termasuk jangkaan penurunan hasil kerajaan disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan akaun semasa imbangan pembayaran yang semakin mengecil.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka dan tidak dapat mengelak dari ketidaktentuan ekonomi global yang menyaksikan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan dunia dan memberi kesan kepada nilai mata wang ringgit.

"Berbanding dengan setahun lalu, nilai ringgit menyusut sebanyak 26.3 peratus berbanding dolar Amerika.

"Namun, Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengalami kejatuhan nilai mata wang. Negara lain yang kaya dengan sumber asli turut berhadapan situasi yang serupa," kata Najib.

Perdana menteri berkata, faktor yang menyumbang ke arah kejatuhan ringgit termasuk, pengukuhan nilai dolar Amerika, kejatuhan harga komoditi dan penyederhanaan ekonomi China.

"Selain daripada tiga faktor ini, sentimen perkembangan semasa dalam negeri turut memberi kesan kepada penyusutan ringgit. Sentimen ini juga telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk dipolitikkan," katanya.

Menurut beliau lagi, sistem kewangan dan perbankan negara, di bawah seliaan Bank Negara Malaysia, pada masa kini lebih kukuh dengan tadbir urus dan amalan pengurusan risiko yang mantap.

Bank kini mempunyai nisbah jumlah modal sebanyak 15.4 peratus yang jauh melebihi paras kawalan seliaan sebanyak lapan peratus, manakalan nisbah hutang belum berbayar (NPL) kini lebih rendah sebanyak 1.2 peratus berbanding 13.6 peratus pada 1998, jelasnya.

Struktur pasaran modal negara lebih pelbagai dan berimbang dengan terdapatnya lebih ramai pelabur institusi tempatan dalam pasaran ekuiti dan bon, kata beliau.

Pasaran modal negara kini juga lebih kukuh berikutan langkah yang telah diambil oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia untuk memantapkan tadbir urus korporat, pengurusan pasaran dan rangka kerja kawal selia yang ketat untuk mengelakkan aktiviti manipulasi, tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS