Mahkamah Persekutuan: Peruntukan Akta Penapisan filem ikut perlembagaan
Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini memutuskan peruntukan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 yang menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menayangkan filem sebelum diluluskan oleh Lembaga Penapisan filem adalah mengikut perlembagaan.
Barisan panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas menolak permohonan penyelaras program pusat komunikasi komuniti Lena Rasathi A Hendry berhubung persoalan perlembagaan untuk diputuskan mahkamah.
Hakim Zulkefli memutuskan keputusan mahkamah terhadap persoalan undang-undang yang dibangkitkan adalah bersifat negatif dan bahawa permohonan tersebut tidak mempunyai merit.
Persoalan undang-undang itu ialah sama ada seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 yang dibaca bersama Seksyen 6 (2) (a) Akta yang sama melanggar Perkara 10 (hak untuk kebebasan bersuara dan memberi pendapat) dan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan (semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan
berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang) dan oleh itu hendaklah dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana bercanggah dengan perlembagaan.
Beliau kemudian memutuskan supaya perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan memerintahkan supaya kes diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret.
Lena dituduh di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur kerana dikatakan menayangkan filem dokumentari bertajuk "No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka" yang tidak diluluskan Lembaga Penapisan Filem.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pukul 9 malam pada 3 Julai 2013.
Pertuduhan itu ialah mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (2) (a) Akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Lena memohon untuk merujuk persoalan perlembagaan itu dan dibenar berbuat demikian oleh Mahkamah Majistret pada 21 November 2014. Pada 10 Mac, tahun ini Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, merujuk persoalan itu kepada Mahkamah Persekutuan.
Perkara itu didengar oleh panel Mahkamah Persekutuan hari ini yang terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Peguam Edmund Bon yang mewakili Lena berhujah bahawa Seksyen 6(1)(b) dan 6(2)(a) tidak mengikut perlembagaan kerana ia mencabuli hak Lena untuk kebebasan memberi pendapat dan bersuara dan pertuduhan ke atas anak guamnya harus digugurkan.
Timbalan Pendakwa Raya K Mangai berhujah bahawa sekyen itu adalah mematuhi perlembagaan kerana Parlimen diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi memperuntukkan sekatan.
Beliau berkata hak untuk kebebasan memberi pendapat dan bersuara yang diperuntukkan kepada warganegara tidak bersifat mutlak dan menambah sudah pasti ada beberapa sekatan ke atas hak tersebut.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.