Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bajet 2016: OKU harap EPC dan bantuan am dinaikkan

Kenaikan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dan bantuan am untuk Orang Kurang Upaya (OKU), adalah antara yang diharapkan golongan itu pada pembentangan Bajet 2016.

Bajet 2016 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pada 23 Oktober ini.

Malaysiakini menemuramah beberapa OKU yang bekerja sendiri terutamanya di rumah urut di Kuala Lumpur untuk memahami apa yang dirasai mereka.

Tinjauan mendapati golongan terbabit meluahkan masalah sama mahukan EPC yang kini diberikan kerajaan sebanyak RM350 ditingkatkan kepada RM500 dan diberikan kepada semua OKU tanpa melihat jumlah pendapatan mereka.

Begitu juga bantuan am sebanyak RM200 bagi OKU tidak bekerja ditingkatkan kepada RM500.

Selain itu mereka juga memohon agar lebih banyak peluang pekerjaan dibuka buat golongan ini dalam bajet tahun depan.

Menurut OKU cacat penglihatan Murugan Kumar, dengan peningkatan kos sara hidup dan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kadar itu perlu ditingkatkan.

Menurutnya, OKU bekerja yang berpendapatan kurang RM1,200 menerima EPC sebanyak RM350 sebulan. Bagaimanapun katanya jumlah yang diberikan itu tidak lagi relevan buat masa kini.

“EPC naikkan sehingga RM500 dan diberikan kepada semua OKU. Kami bukan seperti orang lain. Lagipun duduk di Bandar tak cukup gaji RM1,500 sebulan.

“Ada juga di antara OKU yang dah berkahwin dan bantuan ditarik balik kerana gaji sudah melebih RM1,200. Kalau OKU itu anak tiga orang, macamana nak sara.

“Selain itu tingkatkan juga bantuan am kepada OKU yang tidak boleh bekerja dari RM200 kepada RM500, sama seperti yang elaun EPC yang kami minta sebanyak RM500,” kata lelaki berusia 21 tahun itu kepada Malaysiakini.

Bagi OKU cacat penglihatan sejak dari lahir Nur Iman Ar Ramadan, beliau mencadangkan agar kerajaan meningkatkan peluang pekerjaan bagi golongan itu.

Katanya, pasaran pekerjaan kini hanya menumpukan buat golongan normal menyebabkan OKU terpaksa menjual tisu dan hanya bekerja di rumah urut.

“Peluang pekerjaan tidak sampai satu peratus, mohon perbanyakkan peluang pekerjaan. Kami ini ada kemahiran tapi banyak syarikat yang tidak mahu terima kami bekerja.

“Kami mahu hak sama rata bergantung dengan kebolehan kami. Saya dulu ambil sijil pengurusan pejabat tapi macam sia-sia, akhirnya tidak ada yang mahu terima bekerja dan sekarang saya jual minyak wangi tepi jalan,” kata lelaki berusia 27 tahun itu.

Manakala tukang urut cacat penglihatan Siti Atikah Anum Razali pula berkata walaupun terdapat pusat latihan bagi golongan itu mempelajari ilmu pengurusan pejabat, namun ianya sia-sia apabila banyak syarikat tidak mahu menerima mereka bekerja.

“Banyak rakan saya yang belajar tinggi-tinggi tapi tak ada kerja.

“Kerajaan patut lakukan sesuatu untuk tangani masalah ini kerana yang tersepit adalah golongan OKU,”katanya wanita berusia 24 tahun itu.

OKU catat penglihatan Azman Mat Ali yang mempunyai tiga cahaya mata, pula mencadangkan kepada kerajaan agar menyediakan kerusi khas dengan warna berlainan buat OKU di dalam setiap kemudahan awam.

Selain itu beliau mencadangkan agar alat pembesar suara dapat dipasang di semua bas bagi memberitahu setiap destinasi bagi mengelakkan tersalah turun di lokasi sepatutnya.

“Sekarang ini kerap terlepas stesen yang kita nak turun. Walau ada bas yang dah ada perkhidmatan macam itu tapi bukan semua bas yang buat macam tu, itu lebih memudahkan OKU macam saya,” katanya.

Sementara itu bagi OKU catat penglihatan Mohamad Hafis Mohamad Ali pula menggesa kerajaan untuk memperbanyakkan laluan bagi golongan tersebut di sekitar Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu menyaman golongan normal yang meletakkan motor di laluan trak orang cacat penglihatan kerana seringkali terlanggar kenderaan di situ.

“Penggunaan Blind track perlu dibuat lebih banyak untuk OKU.

“Biasanya penunggang motosikal suka parkir motor di blink track sedangkan itu hak kami, Kami mohon saman serta-merta.

“Kalau boleh mahu Perdana Menteri turun padang dan lihat sendiri masalah kami tanpa guna pengawal peribadi. Rasa masalah yang kami hadapi,”kata lelaki berusia 28 tahun itu.

Minggu lalu, Najib mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan mengenai belanjawan sebelum 15 September ini untuk dimasukkan ke perancangan Bajet 2016.

Najib yang juga menteri kewangan, berkata cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS