Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketibaan pelancong ke PP akan terjejas akibat jerebu
Diterbitkan:  Sep 15, 2015 8:30 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Tourism Malaysia Pulau Pinang menjangkakan jumlah ketibaan pelancong khususnya pelancong tempatan ke Pulau Pinang bulan ini akan terjejas akibat jerebu yang melanda negeri ini.

Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang Harun Pilus bagaimanapun berkata pihaknya menjangkakan isu itu tidak akan berlarutan.

"Saya turut diberitahu banyak penerbangan terpaksa ditunda semalam dan keadaan ini akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di George Town hari ini.

Beliau berkata secara purata, jumlah ketibaan pelancong tempatan di Pulau Pinang tahun ini ialah kira-kira 39,000 setiap bulan.

Sehubungan itu, beliau menasihati pelancong yang ingin melawat Pulau Pinang supaya membuat perancangan perjalanan dengan menyemak Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini.

Setakat pukul 5 petang ini, portal Jabatan Alam Sekitar melaporkan hanya Seberang Jaya berada di tahap kurang sihat iaitu bacaan IPU 107 manakala Perai dan Universiti Sains Malaysia masing-masing mencatat bacaan sederhana iaitu 89 dan 85.

Terdahulu pada sidang akhbar di sini, Harun berkata Tourism Malaysia dengan kerjasama Kelab Media Mutiara Pulau Pinang akan menganjurkan program 'Fun Drive Treasure Hunt 2015' pada 12 Dis ini.

Beliau berkata kembara sehari yang terbuka kepada semua itu akan bermula di Majlis Perbandaran Seberang Perai, dekat sini dan berakhir di Hotel Grand Alora, Alor Setar Kedah.

"Selain untuk mempromosi produk pelancongan, 10 peratus daripada jumlah kutipan yuran akan disalur kepada badan kebajikan negeri ini," katanya.

Beliau berkata yuran penyertaan ialah RM200 untuk empat orang sekumpulan dengan hadiah pertama merupakan wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Borang penyertaan boleh dimuat turun dari laman sesawang www.facebook.com/FunDriveTreasureHunt2015 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 16 Nov.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS