Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesara tentera mahu bajet tingkatkan pencen bulanan

Isu beban sara hidup dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terus menjadi rungutan pelbagai pihak, tidak terkecuali golongan pesara kerajaan.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2016 bulan depan, golongan itu memohon agar jumlah bayaran pencen bulanan mereka dikaji semula sesuai dengan suasana semasa.

Malaysiakini menemuramah beberapa pesara yang kini terpaksa bekerja semula di usia senja bagi menampung keperluan keluarga.

Menurut bekas pegawai waran dua Angkatan Tentera Malaysia Ghazali Daud ( gambar ) walaupun berusia lanjut beliau terpaksa bekerja sebagai penyelia perumahan ekoran elaun pencen yang diterima tidak mencukupi.

Justeru Ghazali, 72, mencadangkan elaun pencen yang diterima pesara tentera sepertinya - sebanyak RM1,200 sebulan - dikaji semula sesuai dengan kos sara hidup semasa.

Malah katanya pesara tentera yang sama pangkat dengannya kini menerima elaun lebih tinggi dan ia seharusnya tidak berlaku.

“Saya bersara pada 1986 setelah berkhidmat 22 tahun. Mereka yang bersara selepas itu dengan pangkat yang sama mendapat pencen yang lebih tinggi.

“Bila agaknya kerajaan nak selaraskan pencen orang lama dengan orang baru yang sama pangkat? Orang baru pencen dapat hampir RM3,500 saya dapat RM1,200,” katanya.

Mohd Shakri Said yang berkhidmat selama 20 tahun dalam tentera dengan jawatan terakhir sebagai sarjan turut berharap kerajaan menilai semula jumlah pencen yang diberi berdasarkan pengorbanan anggota keselamatan mempertaruhkan nyawa demi keamanan.

Beliau yang pernah cedera ditembak musuh dalam pertempuran pada 1982 berkata, kerajaan seharusnya peka dengan golongan tersebut dan menyelaraskan elaun mengikut perkembangan semasa.

“Kita bukan minta banyak, cuma selaraskan dengan perkembangan semasa dan kaji semula cukup atau tidak jumlah itu nak menampung kehidupan seharian,” kata lelaki berusia 55 tahun itu.

Sementara itu, bekas pegawai waran dua Lokman Abdullah kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Perumahan Pantai Permai di Pantai Dalam.

Bagi Lokman selain menyelaraskan bayaran pencen, apa yang turut penting ialah memansuhkan GST.

Katanya lagi sejak kerajaan melaksanakan GST April lalu perbelanjaannya meningkat ketara dan pencen diterimanya sebanyak RM1,400 tidak mencukupi menyara empat anak yang masih belajar.

“Naikkan pencen dari RM1,200 kepada RM1,700 kerana kos sara hidup meningkat. Dengan pencen yang tak seberapa saya terpaksa buat kerja sampingan," kata lelaki berusia 47 tahun itu.

Sementara itu bagi pegawai waran satu Halim Omar, beliau memohon kerajaan memberi potongan kepada pesara tentera yang ingin membeli rumah bernilai RM500,000 ke bawah.

Kadar yang dicadangkan Halim ialah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada harga harta tanah berkenaan.

“Kerajaan patut fikirkan sesuatu kerana kami bekas perajurit bersabung nyawa demi mempertahankan keamanan negara,” katanya.

Kini berusia 44 tahun Halim menyara hidup dengan pendapatan sampingan sebagai pemandu peribadi.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan mengenai belanjawan sebelum 15 September ini untuk dimasukkan ke perancangan Bajet 2016.

Najib yang juga menteri kewangan, berkata cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.

Bajet 2016 dijadual dibentang perdana menteri di parlimen pada 23 Oktober ini.

Lihat Komen
ADS