Himpunan baju merah ancam 1Malaysia?
Selepas Himpunan Rakyat Bersatu diadakan, timbul persoalan sama ada gagasan Datuk Seri Najib Razak, 1Malaysia, yang dilaungkan selama ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, walaupun perhimpunan baju merah kelmarin dilihat berjaya daripada jumlah kehadiran, beliau mempersoalkan sama ada penekanan terhadap perjuangan berteraskan "Melayu" akan menjadikan gagasan 1Malaysia tercapai.
"Gagasan 1Malaysia itu untuk satu padukan masyarakat sebagai rakyat Malaysia dah cantik. Tetapi kalau terlalu menekankan perjuangan Melayu, apakah ia akan membantu konsep itu terlaksana?
"Persoalan besar ialah bukan berjaya atau tidak, walaupun dari segi nombor perhimpunan itu berjaya. Namun persoalan yang lebih mendalam kita lihat adakah perhimpunan seumpama ini menyebabkan gagasan 1Malaysia dikesampingkan, terutamanya dalam usaha kerajaan nak menyatupadukan masyarakat bukan sahaja di semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Selain itu, Ahmad Martadha berkata unsur perkauman juga tidak dapat dinafikan berlaku apabila terdapat pihak yang membangkitkan isu sensitif dengan membenci kaum lain dalam perhimpunan tersebut.
Kukuh atau konflik
Justeru, beliau menyifatkan unsur perkauman yang timbul dalam himpunan itu berbahaya kerana berisiko mencetuskan konflik lebih besar pada masa akan datang.
"Walaupun perjuangan besar nak martabat orang Melayu di negara ini, namun kesan sampingan itu tak dapat dielakkan, iaitu kemunculan unsur perkauman apabila terdapat segelintir pihak membangkitkan persoalan sensitif - seperti membenci kaum lain yang menyimpang daripada Rukun Negara dan dasar gagasan 1Malaysia itu sendiri.
"Apakah kesan perhimpunan ini mampu mengukuh kedudukan orang Melayu atau hanya menimbulkan konflik lebih besar antara kaum? Itu yang perlu kita lihat. Apakah perhimpunan ini mampu mencapai matlamat penganjur atau kesannya hanya memisahkan jurang perpaduan yang sedia terbina," katanya lagi.
Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, perhimpunan anjuran Persatuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka) itu dilihat tidak bersifat perkauman, sebaliknya merupakan tindakan melahirkan perasaan bahawa kaum Melayu merupakan bangsa bermaruah dan prihatin terhadap negara.
Manifestasi Melayu
Malah, beliau juga berpendapat, perhimpunan itu juga membuktikkan bahawa orang Melayu tidak akan berdiam diri sekiranya diprovokasi.
"Bagi saya soal perkauman (pada Himpunan Rakyat Bersatu) tak boleh ditimbulkan sebab orang Melayu bangkit disebab provokasi awal.
"Ia bukan perkauman tapi manifestasi Melayu bahawa mereka ada maruah dan prihatin tentang hal dalam negara. Ini bukan perkauman," katanya.
Apabila diprovokasi, kata Ramlah ( gambar ), memang orang Melayu akan jadi macam itu.
Ramlah juga mengaitkan semangat perjuangan Melayu yang tidak boleh dicabar dengan insiden pada 1945 membabitkan Mohd Salleh Abdul Karim (atau Kiai Salleh) menentang askar Bintang Tiga di Muar, Johor
Ramlah yang kini Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menceritakan, di Johor ketika askar Bintang Tiga menangkap dan melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan orang Melayu, kumpulan yang diketuai oleh Kiai Salleh bangun dan melawan.
"Dalam sejarah pun macam itu. Kalau diprovokasi, orang Melayu akan melawan balik," katanya lagi.
Selain itu, ketika ditanya sama ada Himpunan Rakyat Bersatu semalam bersifat perkauman, Ramlah berkata jika dibandingkan dengan perhimpunan anjuran BERSIH, perhimpunan 16 September itu lebih bertimbang rasa dan teratur.
"Saya rasa BERSIH 4 lebih bersifat perkauman. Lebih banyak kerosakan harta benda berlaku, orang tak boleh nak berniaga. Bagi saya perhimpunan baju merah ini lebih bertimbang rasa. Dan kalau nak kata ia perkauman, kita kena tengok orang Melayu tidak akan bangkit kalau tiada provokasi dari kaum lain," katanya lagi.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.