Pemuda Umno Pasir Gudang menyifatkan tindakan Pemuda MCA bahagian itu memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebagai tidak matang, terdesak, melulu dan tidak langsung menggambarkan semangat setia kawan.
Ketua Pemudanya Azman Ja’afar berkata Pemuda MCA harus sedar kini adalah masa untuk bersatu padu dan bukan memainkan isu perkauman seperti yang dilakukan pembangkang.
"Sesungguhnya, saya amat kesal dan sangat kecewa dengan ketetapan yang dibuat oleh Pemuda MCA Pasir Gudang yang disifatkan sebagai tidak matang, terdesak, melulu, serta langsung tidak menggambarkan semangat setiakawan parti-parti komponen dalam BN.
"Janganlah mudah terperangkap dengan taktik dan strategi pembangkang untuk melemahkan lagi persefahaman parti pelbagai bangsa dalam Barisan Nasional,” kata Azman.
Semalam Pemuda MCA bahagian itu bertindak memutuskan hubungan dengan Najib ekoran pendiriannya yang yang menyokong Perhimpunan Melayu Bersatu pada 16 September lalu dan menyifatkan himpunan 'Baju Merah' itu menghancurkan keharmonian kaum.
Perhimpunan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu, menghimpunkan seramai 50,000 peserta bagi menyatakan sokongan kepada Najib ketika berhadapan dalam masalah ekonomi dan menggesa supaya menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam kenyataannya hari ini, Azman juga berkata pendirian Pemuda MCA itu dimaklumkan setelah Malaysia baru sahaja menyambut sambutan kemerdekaan dan hari penubuhannya.
Menurutnya, MCA sewajarnya melihat himpunan itu dalam konteks yang lebih meluas dan bukan hanya menumpukan soal perkauman semata-mata.
Katanya lagi, ia selari dengan titah Sultan Johor supaya tidak membangkitkan isu dan sentimen perkauman.
"Jelas, Pemuda MCA sendiri gagal memahami titah Sultan dan cuba membangkitkan kebencian antara kaum dalam kalangan bangsa Johor.
"Melihat kepada senario dan arus sokongan orang Cina semasa, BN amat memerlukan sokongan Melayu sebagai galang ganti kepada ketidak upayaan MCA mendapat dan mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN.
"Dan adalah menjadi hak kepada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia, asalkan ianya mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.
