Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan peguam Kamal Hisham Ja'afar dikenakan jaminan atas pertuduhan pecah amanah dan berkaitan Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dihadapinya.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas membuat semakan terhadap ikat jamin yang dibenarkan terhadap Kamal Hisham, 45, lalu memerintahkan peguam berkenaan ditahan di Pusat Tahanan Ayer Molek, di Johor Bahru sehingga perbicaraan kes dihadapinya selesai.
Mohd Sofian dalam penghakimannya berkata berlaku kekhilafan dalam ikat jamin yang dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak (pendakwa dan peguam bela), maka, mahkamah mendapati berlaku kekhilafan yang mana Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan tentang kecenderungan tertuduh (Kamal Hisham) untuk melarikan diri," katanya.
Mohd Sofian, bagaimanapun, membenarkan Kamal Hisham melawat bapanya yang tidak sihat sekiranya diperlukan dengan iringan polis sepanjang tempoh ditahan itu.
Mahkamah Tinggi pada 17 September lepas memanggil pihak pendakwa dan peguam bela bagi membuat semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan ikat jamin terhadap Kamal Hisham.
Kamal Hisham yang ditahan polis pada 2 September lepas dan dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 3, 8 dan 14 September lepas atas empat pertuduhan pecah amanah dan enam tuduhan berkaitan Akta Syarikat 1965, dibenarkan ikat jamin keseluruhannya berjumlah RM700,000 selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Ketua Unit Pendakwaan Johor Saiful Edris Zainuddin yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya dari SSM, Ku Hayati Ku Haron berkata pihaknya ada mengemukakan afidavit mengenai tertuduh yang mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri.
"Selepas ditahan di Singapura juga, tertuduh ada memberitahu beliau tidak mahu dihantar ke Johor Bahru atau minta ditangguhkan daripada dihantar. Ini menunjukkan sikap tidak insaf beliau.
"Ada pendapat mengatakan menahan sebelum bicara adalah kejam tetapi beberapa usaha telah dibuat sebelum berjaya menahan tertuduh selepas tempoh tiga tahun. Memberikan jaminan kepadanya akan mengecewakan mahkamah," katanya.
Pembelaan yang dibarisi peguam C.Vignesh Kumar, Datuk Hanif Hassan dan Mohd Asram Zakaria pula menegaskan anak guam mereka tidak mungkin melarikan diri kerana pasportnya sudah diserahkan kepada mahkamah sebelum ini dan memberi kerjasama sejak mula ditahan pihak berkuasa.
Vignesh Kumar yang ditemui pemberita selepas prosiding selesai berkata pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan terbabit di Mahkamah Rayuan.
Anggota keluarga Kamal Hisham turut hadir di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.
- Bernama
