Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ketidaktentuan ekonomi, M'sia perlu bina daya tahan'
Diterbitkan:  Sep 21, 2015 7:58 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Malaysia perlu membina kekuatan serta daya tahan sendiri bagi membolehkannya menempuhi ketidaktentuan yang berlaku di China serta Amerika Syarikat (AS).

Ketika berkongsi pandangannya, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata sebahagian besar faktor yang menjejaskan ringgit adalah disebabkan perkembangan ekonomi di peringkat global.

"Kadar faedah Rizab Persekutuan AS misalnya kekal pada paras sifar sejak tujuh tahun lepas dan ramai yang mengharapkan ia akan dinaikkan. Ini yang turut menyumbang kepada pengukuhan dolar AS.

"Perkembangan luaran seperti inilah yang menjejaskan negara-negara termasuk Malaysia yang bersifat terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015 anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), di sini, hari ini.

"China kini menseimbangkan semula aktiviti untuk membolehkan ekonominya mampan. Jika China tidak melakukan usaha penyusunan semula ini, kita akan lebih goyah pada masa depan," tegasnya.

Merujuk perkembangan dalam negara, Zeti menjelaskan, pemulihan ringgit akan bergantung kepada perkembangan ekonomi.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Gabenor BNM itu menegaskan penyusutan ringgit bukanlah sesuatu yang unik untuk Malaysia kerana kira-kira 120 mata wang global turut susut berbanding pengukuhan dolar AS.

Mengenai isu membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau berkata bank pusat itu telah menyelesaikan bahagiannya dalam siasatan berhubung pelanggaran kelulusan dana pelaburan strategik itu dan laporan berkenaan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berpendapat, kerajaan perlu mengemukakan penyelesaian holistik untuk membolehkan 1MDB pulih sebanyak mungkin daripada asetnya.

"Saya rasa apa yang berlaku, sudahpun berlaku. Ada proses yang sewajarnya untuk menyelidiki apa yang berlaku. Beberapa siasatan turut dilakukan baik di peringkat Parlimen mahupun agensi," katanya.

Menurut Abdul Wahid, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga akan diselaraskan semula pada sesi Parlimen akan datang untuk meneruskan serta menyelesaikan siasatannya terhadap 1MDB.

-Bernama

Lihat Komen
ADS