Puspa Dewi Krishan Kumar, 20, remaja dari Haryana, India ini sudah menguasai dua seni mempertahankan diri iaitu karate dan gusti, namun apabila menyaksikan gerak tari seni silat, beliau menjadi tertarik untuk mempelajarinya.
Minatnya terhadap silat berputik apabila beliau menyaksikan demonstrasi pencak silat seperti yang disebut di negaranya setahun lalu.
Dan kini beliau bukan lagi calang-calang pengamal silat kerana beliau adalah pemegang pingat gangsa bagi kategori Puteri Antarabangsa Kelas B pada kejohanan silat antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri 2015 di sini baru-baru ini.
"Silat berbeza berbanding karate dan gusti. Pencak silat penuh dengan pergerakan berirama, tidak hanya bergantung kepada kekuatan semata-mata.
"Bila saya beritahu ibu bapa saya bahawa saya mahu mempelajari silat, mereka menjadi hairan kerana silat tidak popular di India. Namun mereka bersetuju saya mempelajari silat kerana adalah penting bagi seorang wanita untuk mempelajari seni mempertahkan diri," katanya.
Pengasas dan Presiden Persekutuan Pencak Silat India, Kalari P. Selvaraj berkata silat mula mendapat perhatian di India atas inisiatif persekutuan itu memperkembangkannya sejak 2006.
Beliau bukan sahaja bertanggungjawab memperkembangkan silat di seluruh India tetapi turut bertindak selaku penyelaras pembangunan silat di negara Asia Selatan.
Menurut Kalari, beliau sendiri mempelajari silat di Indonesia sejak awal tahun 2000 dan membentuk persekutuan silat di India pada tahun 2005.
"Silat adalah sangat tradisional. Ia bukan sahaja mengenai olahraga, tetapi juga merupakan kombinasi kekuatan mental, seni dan unsur bela diri.
"Pergerakan tempur silat dijadikan lebih lembut menerusi penekanan kepada kejituan dan seni," ujarnya.
Mengenai masa depan silat di India, Kalari berkata ia mempunyai masa depan yang cerah dan memerlukan sokongan negara pesilat seperti Malaysia dan Indonesia.
"Pencak silat masih muda di India. Namun kita telah menyertai kejohanan antarabangsa. Misalnya di sini kita memperoleh pingat gangsa, ia merupakan permulaan yang baik. Ia lebih merupakan pendedahan kepada pesilat kita, untuk menyediakan mereka kepada kejohanan di masa depan," katanya.
Suraj Kumar Hamand, 17, bersetuju dengan pandangan tok gurunya ini dengan mengakui banyak teknik baharu yang dipelajarinya menerusi pemerhatiannya kepada pesilat lain sepanjang kejohanan enam hari di sini yang berakhir Ahad lepas.
"Walaupun saya hanya menggondol pingat gangsa dalam Kelas F Putra Antarabansga, namun saya berbangga kerana dapat sama berkongsi podium dengan pesilat Malaysia.
"Saya harap tahun depan saya dapat bersilat lebih hebat untuk negara saya dan demi rekod persendirian saya," kata remaja dari Delhi ini.
"Pencak silat adalah cinta pandang pertama bagi saya," katanya apabila ditanya mengenai minatnya terhadap seni silat.
- Bernama
