Paling Popular
Terkini

TRAVELOG Kampung Bagan Lalang tenang-tenang sahaja. Pagi itu, tar jalan masih basah. Saya lintasi laluan kampung yang kecil, ke jalan utama. Rata-rata di situ penduduknya masyarakat Melayu.

Mereka bermotosikal pagi-pagi tanpa pakai helmet. Termasuk gadis-gadis yang tak sempat saya tenung wajahnya.

Hujung Kampung Bagan Lalang, ada hotel terapung di tengah laut. Hotel itu hotel ternama. Tidak pernah saya ke sana. Hendak mendekati pintu pagar hotel sahaja, saya takut. Takut-takut duit dalam poket tak cukup.

Sengaja kayuhan ini saya buat sebagai kayuhan solo. Maksudnya, saya berkayuh seorang diri. Ada yang bertanya, kenapa? Jawapan saya, untuk mengurangkan kos.

Selalunya bagi kerja amal, seperti yang dilakukan oleh NGO, kos pengurusan lebih tinggi daripada wang yang dapat disumbang kepada golongan sasar.

NGO adalah badan yang tidak bikin keuntungan. Namun petugas di dalam NGO itu pula menerima upah gaji yang bukan kepalang waima berbanding pekerja profesional di sektor swasta.

Hal ini perlu dibetulkan dari kalangan aktivitis itu dahulu – yang mengkritik itu-ini, tidak berpuas hati dengan itu dan ini.

Dalam pong-pang pong-pang kritikan, ramai pula yang saya temui hidup mereka tak kurang bermewah-mewah. Kemudian, ada yang yang memilih untuk menyertai parti politik untuk memperoleh setingkat kuasa lagi.

Dalam berkayuh-kayuh, beberapa kali saya berhenti untuk mengambil nafas. Botol air dalam beg kecil tergantung di hendal basikal. Teguk air, dan sambung kayuhan semula.

Kiri-kanan jalan, banyaknya pokok kelapa sawit. Juga estet-estet milik syarikat-syarikat besar. Saya mengagak-agak, ramailah di kalangan pekerja estet itu adalah kaum India.

Realiti itu terduga bilamana sepanjang estet yang dirimbuni oleh ladang kelapa sawit, saya temui beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Itu adalah tanda wujudnya kelompok masyarakat India yang ramai.

Penjajahan memang tidak hanya meninggalkan bangunan kolonial. Penjajahan juga telah meninggalkan masyarakat yang terpencar-pencar mengikut kaum.

Orang India masih kekal dengan imej estet. Masyarakat Melayu pula di kampung-kampung dengan kita dapat lihat halaman rumah mereka luas berhias pokok-pokok bunga.

Orang Cina pula bertumpu di muara sungai. Mereka jadi pemilik kapal-kapal nelayan yang besar-besar, selain mereka kekal berniaga di pekan. Misalnya pekan Tanjung Sepat.

Pekan ini romantis. Pekan ini tidak kelihatan daripada tepi jalan besar. Pekan sebenar yang sibuk adalah satu lapis jalan masuk ke arah laut. Lorong-lorongnya dibahagi-bahagi dengan memakai urutan nombor... satu, dua, tiga, empat sampai tujuh kalau tak silap.

Kedai-kedai papan bercampur dengan kedai-kedai baru yang diperbuat daripada batu. Di dalam pekan itu, hanya ada sebuah bank: Bank Hong Leong.

Nama bank itu sahaja sudah cukup menggambarkan majoriti penduduk pekan ini. Tak ada bank-bank lain. Tak ada CIMB, atau Maybank. Jauh sekali bank-bank seperti Bank Simpanan Nasional seperti yang selalu dikaitkan dengan masyarakat Melayu yang menabung di dalam ASN atau ASB.

Begitulah soal perkauman di Malaysia sesungguhnya telah diselesakan terus-menerus. Daripada soal sekolah, sampai soal bank.

Melainkan makcik Masnah. Umurnya 70. Dia berniaga nasi campur, di warung tepi jalan besar. Katanya, hanya dia satu-satunya orang Melayu yang kekal berada di Pekan Tanjung Sepat.

Orang Melayu lain sudah menjual rumah atau tanah mereka. Mereka berpindah meninggalkan pekan yang dahulunya ada juga beberapa orang Melayu.

“Orang kita sekarang duduk sebelah darat,” begitu cerita makcik Masnah. “Darat” maksudnya ke kawasan agak pendalaman. Kata makcik Masnah lagi, “orang Melayu tak pandai berniaga.”

Seberang jalan, depan warong Makcik Masnah, terpampang papan iklan dengan wajah Menteri Besar Selangor. Papan iklan itu adalah papan iklan program HIJRAH. Saya sangat arif dengan program kerajaan negeri Selangor berkenaan.

HIJRAH adalah program mikro kredit yang bukan sahaja untuk membantu peniaga kecil, tetapi juga bermatlamat mengeluarkan golongan miskin daripada garis kemiskinan.

Golongan ini digalakkan berniaga. Mereka boleh meminjam daripada serendah RM1, 000 sampailah setinggi RM50, 000. Kerajaan Selangor memperuntukan RM100 juta tahun ini untuk membiaya para peniaga kecil.

“Muka siapa tu makcik? Saya pun menunjuk papan iklan dengan wajah MB Selangor.

“MB barulah!” jawabnya.

“Makcik undi siapa?” begitu tiba-tiba saya bertanya.

“Undi rahsia! Mana boleh kasi tahu. Undi rahsia. Undi rahsia. Undi rahsia,” berkali-kali dia mengulang-ulang akan rahsia undinya di dalam pilihan raya.

Terbahak-bahak, saya ketawa.

“Undi biru tua-lah tu?” saya cuba umpan.

“Eh, saya dah tukar tau!,” pekerja makcik Masnah menyampuk.

Makcik Masnah diam, sebelum bertanya semula, “Awak ke sini buat apa?”

“Buat apa? Eh! Kerja saya adalah rahsia... rahsia... rahsia!,” saya jawab. Makcik Masnah tarik muka. Saya bertambah-tambah terbahak ketawa.

Saya fikir, di saat orang Melayu – termasuklah makcik Masnah – tidak mahu bercakap tentang politik, mereka sebenarnya telah memberi isyarat politik. Di saat dia mahu berahsia, dia sebenarnya sudah tidak berahsia lagi.

Selain pekan kecil sebatang Pekan Semerah di mana saya berasal, saya kira inilah pekan paling romantis. Sesampai di sini, saya jadi lupa lelah dan seolah-olah hilang penat sepanjang kayuhan melintasi beberapa kampung lain yang saya ingat seperti Kampung Tanjung Rhu dan Kampung Tumbuk Darat.

Sepanjang pagi itu juga, saya sudah lintasi kawasan estet yang banyak juga orang memelihara lembu di atas tanah yang pokok kelapa sawitnya sudah reput dan tumbang.

“Bah! Bah! Bah!” laung seorang lelaki India yang menghalau puluhan ekor lembu sambil dia menunggang motorsikal. Dihalau lembu-lembu itu agar tidak mampir ke jalan raya.

Saya juga sudah ke muara sungai Tanjung Sepat melihat bot dan tongkang-tongkang nelayan dengan beberapa restoran Cina yang besar di tepi sungai.

Seperti di kawasan kampung Melayu di Bagan Lalang, ramai di Pekan Tanjung Sepat menunggang motosikal petang-petang. Termasuk gadis-gadis Cina yang juga tidak sempat saya lihat wajah mereka seorang demi seorang.

Tidak kurang ada juga yang berbasikal, tua dan muda, lelaki dan perempuan. Bagi saya, mereka semua adalah rakyat biasa dan orang-orang baik.

Hanya saya sedar, meski mereka mesra, saya dilihat asing. Mungkin kerana pakaian saya, kelakuan atau bangsa saya. Mungkin juga kerana basikal saya.

Selepas 50 tahun Malaysia menjadi Malaysia, kita tetap hidup dalam kelompok kaum yang terpencar-pencar. Di Kuala Lumpur, sepanjang hari itu, saya dengar laungan kebencian kaum berkumandang. Moga-moga laungan itu tidak sampai ke sini. Moga-moga ia lupus dalam jerebu di sana.

 


Sumbangan untuk sekolah ini boleh disalurkan ke akaun bernombor 22100003950 (Hong Leong Bank) atas nama Sekolah Rendah Islam Al-Anwar.

 

HASMI HASHIM seorang pegawai di pejabat menteri besar Selangor. Aktivis seni ini juga dikenali sebagai, BUDDHI HEKAYAT, penulis lirik lagu popular 'Awan Nano'.

Ikuti bahagian pertama coretan #KayuhanSoloWakaf di sini .

 

 

 

A photo posted by Buddhi Hekayat (@hasmihashim) on


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS