Anwar mahu diwujudkan barisan pembangkang yang kuat
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin parti-parti pembangkang supaya mengetepikan perbezaan antara mereka dan berusaha untuk mewujudkan sebuah gagasan politik alternatif yang baru dan kuat di negara ini.
"Kita perlu leburkan perselisihan kecil sesama kita dan tumpu kepada gambaran yang lebih besar, iaitu untuk membina sebuah negara yang aman di bawah kerajaan yang adil dan telus. Supaya jika ada keuntungan kita akan bahagikan kepada semua rakyat secara adil," katanya.
"Saya berharap Keadilan (PKR), bersama-sama dengan teman seperjuangan kita dalam PAS dan DAP, dapat berbincang mengenai dimensi baru ke arah mewujudkan muafakat baru dan kuat," tambah Anwar ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama penyokongnya di Shah Alam malam tadi.
Anwar juga menggesa parti-parti pembangkang supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda media arus perdana yang sengaja melaporkan mengenai perbezaan yang wujud antara parti pembangkang dalam usaha untuk memecahkan kerjasama antara mereka.
"Mengapa kita harus biarkan orang lain yang menentukan agenda kita? PAS tidak boleh bekerjasama dengan DAP, mengapa? Sebab media perdana kata begitu. Keadilan tidak boleh bekerjasama rapat dengan PAS sebab media arus perdana tidak senang melihatnya. Siapakah yang menentukan dasar dan masa depan kita? Kita atau mereka. Kitalah yang mesti menentukan dasar-dasar itu berasaskan kepada keutamaan kita dan agenda bersama kita," katanya.
'Politik bermusuhan'
Anwar juga mengingatkan pihak pembangkang supaya jangan mengamalkan 'politik bermusuhan' sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah pemimpin dalam pentadbiran sekarang.
"Saya tidak bersetuju sekiranya kita meneruskan agenda kita (untuk reformasi) melalui politik adu domba sepertimana yang dilakukan oleh mereka. Kami sebaliknya patut ambil kesempatan atas sedikit ruang yang ada untuk bersama rakyat, mendekati mereka dan untuk lebih memahami mereka.
"Kita tidak bermusuh dengan dengan parti-parti mereka. Musuh-musuh kita adalah mereka yang mengambil rasuah dan yang terus menerus menindas rakyat. Ini sudah jelas," tambahnya.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Hatta Ramli yang turut bersetuju dengan kenyataan Anwar mengenai perlunya diperbaharui usaha untuk memperkukuhkan barisan pembangkang.
"PAS sentiasa menggalakkan DAP supaya kembali semua (ke pangkuan Barisan Alternatif). Jika Anwar atau sesiapa sahaja mahu memulakan perbincangan baru mengenai perkara itu, saya rasa parti saya akan menerimanya sepenuh hati. Saya rasa Anwar boleh memainkan peranan (sebagai orang tengah) dengan baik."
Orang tengah
Manakala Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Teng Chang Kim yang turut hadir di majlis tersebut, juga bersetuju bahawa Anwar merupakan orang terbaik untuk menjadi orang tengah antara kedua-dua parti tersebut.
"Saya rasa DAP akan mengalu-alukan usaha Anwar untuk menyatukan parti pembangkang. Setakat ini, beliau merupakan satu-satu pemimpin yang mempunyai pengaruh ke atas kesemua parti pembangkang. Beliau merupakan faktor penyatu."
Namun begitu, Teng turut mengakui bahawa ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilaksanakan oleh Anwar.
"Pembangkang terpaksa bekerja kuat untuk mencari formula yang boleh diterima oleh semua pihak sebelum mereka dapat memulakan ruang baru kerjasama antara mereka".
Sementara itu, malaysiakini diberitahu, dalam perjumpaan pertamanya dengan ahli-ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di ibu pejabat PKR, Anwar telah menekankan tentang pentingnya kerjasama padu antara parti-parti pembangkang.
Menurut Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor, dalam perjumpaan tersebut, Anwar juga menyentuh mengenai perlunya PKR bekerjasama rapat, bukan sahaja dengan PAS dan DAP, tetapi juga dengan badan bukan kerajaan dan kumpulan media yang menyokong agenda reformasi.
"Beliau juga bercakap mengenai rasional gabungan antara Keadilan and Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bagaimana gabungan itu menguntungkan kita. Ia merupakan perjumpaan yang bagus dan beliau juga sudah jelas dengan halatuju masa depan parti ini."
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula menyifatkan ucapan pertama Anwar itu sebagai yang terbaik dan 'menjadi sumber inspirasi' kepada mereka.
"Saya rasa sudah lama beliau mahu memberitahu perkara itu kepada kami. Ia telah disampaikan dengan baik dan ianya memberi kita satu perspektif yang baik mengenai apa yang dikatakan perjuangan," katanya.
"Malah mereka yang dahulunya eberatan untuk menerima gabungan tersebut kini nampaknya sudah berpuashati. Beliau (Anwar) juga menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya."