Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ESEI FOTO Setiap hentian R&R di sepanjang lebuhraya dari Kuala Lumpur ke Kuantan jadi lebih meriah pada Jumaat malam itu.

Sejak pagi lagi pengunjung yang duduk berehat di hentian-hentian ini menoleh untuk menjengah arah deruman enjin motosikal yang datang dalam kumpulan-kumpulan kecil, sama ada untuk membeli minuman atau mengisi petrol.

Rollin' Wheelz: Setahun menunggu, 20 saat berakhir Mereka biasa merengus apabila melihat kumpulan “mat rempit”. Mereka juga sudah biasa melihat kumpulan penunggang superbike pada hujung minggu.

Tapi kumpulan penunggang motosikal klasik British dan Amerika Syarikat ini berbeza sama sekali. Jentera yang biasanya hanya dapat dilihat dalam filem tahun 1970-an ini sudah dibogelkan sehingga tinggal rangka.

Anda tidak perlu menjadi seorang peminat (atau seorang pembenci) motosikal untuk mengesan tarikannya – ia mungkin pada watak motosikal itu atau penunggangnya sendiri. Selalunya, tarikan itu pada kedua-duanya.

Antaranya, seorang pak cik yang singgah di tepi stesen minyak Genting Sempah. Enjin keretanya berasap. Beliau mengulang pertanyaan: "Semua ni nak pergi Pantai Balok? Ada apa di sana?"

Pantai Balok terletak 261km dari Kuala Lumpur dan 15 km dari bandar Kuantan.

Pantai itu tidaklah popular seperti Teluk Cempedak. Tapi sejak tiga tahun lalu, setiap tahun – selama dua hari – kawasan pantai itu akan dihurung penunggang motosikal yang datang dari sekitar semenanjung serta Singapura.

Mereka mendirikan khemah sepanjang pantai untuk acara Rollin' Wheelz.

Rollin' Wheelz dianjurkan oleh Banjaros Malaya, kelab motosikal chopper yang ditubuhkan sekitar tahun 1990-an.

Pada awal penganjurannya, penyertaan Rollin' Wheelz terhad kepada keluarga dan kenalan saja. Ia tidak ubah seperti hari keluarga – pasang khemah tepi pantai, unggun api, main gitar, ada nyanyian, ada orang menari, dan kanak-kanak berlari, bermain pasir.

Apa yang membezakan Rollin' Wheelz dengan hari keluarga lain, pesertanya datang dengan motosikal secara konvoi. Namun ada juga jentera yang dipunggah dengan trak atau van.

Walaupun kini penyertaan dibuka untuk semua jenis kenderaan dua roda, kebanyakan peserta masih mengekalkan tradisi tahun-tahun sebelumnya dengan membawa motosikal klasik.

Klasik dalam bahasa longgarnya adalah model motosikal tertentu yang menempa nama pada zamannya dan mempunyai peminat tersendiri sehingga ke hari ini.

Ia boleh ada kaitan dengan tahun keluaran, kejuruteraan enjin, atau jentera yang pernah muncul sebagai kameo dalam 1,001 kisah panjang tradisi peminat motosikal.

Spesies motosikal seperti AJS dan Triumph yang jarang ditunggang di atas jalan dan cuma sekali-sekala muncul di pameran akan dapat dilihat.

Setiap jentera dipacu oleh seorang penunggang, dengan pendikit minyak dipulas sehabisnya di atas trek pasir pantai.

“Beach race” atau perlumbaan motosikal di tepi pantai inilah yang menjadi acara utamanya. Memetik kata salah seorang peserta, ia adalah "perlumbaan yang ditunggu-tunggu setahun tetapi berakhir dalam masa 20 saat".

Apa-apa saja jentera dua roda dengan seketul enjin yang dikepit di celah kangkang seorang penunggang layak memasuki perlumbaan ini.

Cuma ada dua kelas perlumbaan – 250cc ke atas dan 250cc ke bawah. Ia lebih santai berbanding mana-mana perlumbaan motosikal yang lebih serius seperti di Litar Antarabangsa Sepang.

Tapi aspek keselamatan tidak diambil ringan. Helmet dan kasut diwajibkan kepada setiap pelumba. Tapi tetap saja pelumba masih lebih ranggi dengan but Red Wing dan kacamata hitam Ray Ban.

Tak ada carta, jadual, atau gadis litar yang memegang payung untuk pelumba. Dua nama dipanggil, penjaga garisan buat kiraan, pendikit minyak dipulas, pelumba ambil selekoh U, yang tiba dulu di garisan tamat akan ke pusingan seterusnya.

Semuanya berulang-ulang sehinggalah hanya tinggal satu nama yang terakhir sebagai pemenang.

Ia adalah acara yang lebih menekankan keseronokan dan bertujuan meraikan peminat motosikal. Memanglah, penganjur ada menyatakan sesuatu tentang "semua orang adalah pemenang". Mungkin pernyataan itu tidak benar.

Susah untuk dipastikan sebab semuanya tenggelam bersama deruman ratusan enjin yang cukup buat telinga berdengung untuk tiga hari.

 


WAHYUDI YUNUS penulis zine Fragranfrantik.

 

 

 

Lihat Komen
ADS