Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga ubat naik 5,000%, CEO dikecam
Diterbitkan:  Sep 24, 2015 11:38 AM
Dikemaskini: Sep 25, 2015 5:02 AM

CEO Turing Pharmaceutical, Martin Shkreli menerima jolokan “lelaki paling dibenci di AS” selepas syarikat itu mengumumkan rancangan untuk menaikkan harga ubat keluaran syarikat itu kepada lebih 5,000 peratus.

Ia melibatkan ubat untuk mengubati penyakit kritikal seperti kanser dan juga produk yang digunakan oleh pesakit AIDS.

Antaranya, pil Daraprim untuk kegunaan pesakit AIDS, yang sebelum ini dijual dengan harga AS$13.50 setiap dos.

Shkreli kemudiannya bertindak menaikkan harga pil tersebut kepada AS$750, yang menyebabkan beliau menerima kritikan meluas, selain ugutan bunuh.

Jawapan agresif oleh Shkreli di media sosial tidak membantu untuk memulihkan imejnya, malah memburukkan lagi keadaan pada bulan lalu.

Akhirnya, Shkreli, 32, semalam terpaksa mengumumkan untuk menurunkan semula harga ubat tersebut ke “tahap mampu beli”. Isu tersebut mendapat perhatian selepas dilaporkan The New York Times pada hari Ahad lalu.

Laporan media AS hari ini menyebut, Shkreli tidak menyatakan harga baru tersebut tetapi menjangka ia akan ditentukan dalam masa “beberapa minggu”.

Ubat tersebut, Daraprim, digunakan untuk menentang jangkitan toxoplasmosis yang berbahaya kepada individu dengan sistem imun lemah seperti pesakit AIDS dan wanita hamil.

Shkreli dalam penjelasannya memberitahu, kenaikan harga itu amat perlu bagai meningkatkan hasil syarikatnya dan untuk menyalurkan keuntungan untuk kajian dan pembangunan.

Penjelasan itu menerima kritikan keras kerana kos untuk mengeluarkan ubat Daraprim itu hanyalah serendah RM1 setiap dos.

Setahun lalu, Shkreli pernah melakukan tindakan sama. Sewaktu menjadi CEO syarikat Retrophin, syarikat tersebut membeli hak ke atas ubat Thiola dan menaikkan harganya sebanyak 20 kali ganda.

Thiola digunakan untuk merawat cystinuria, salah satu penyakit buah pinggang yang tidak dapat disembuhkan.

Kes melibatkan syarikat juga bukan satu kes terpencil memandangkan timbul kebimbangan ke atas kenaikan harga ubat yang sudah lama digunakan dalam rawatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS