Arab Saudi semalam mencadangkan tindakan jemaah haji tidak mengendahkan peraturan menyebabkan insiden terbaru yang mengorbankan sekurang-kurang 700 orang, paling buruk dalam 25 tahun.
Iran pula, sebuah negara yang tidak sebulu dengan Arab Saudi, menyatakan kekesalan terhadap kematian 131 warganegaranya, lapor Reuters .
Beberapa ahli politik negara Syiah itu berkata Arab Saudi tidak mampu lagi menguruskan urusan menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
Beratus-ratus orang berdemonstrasi di ibu negeri Iran sambil melaungkan slogan “Hancur dinasti Saudi”.
Seorang saksi kejadian memberitahu Reuters beliau melihat orang ramai bertindih dua atau tiga lapisan ketika kejadian.
“Sesetengah orang selamat dan cuba keluar dari timbunan tetapi gagal dan kemudian meninggal dunia [...] Saya nampak mereka meninggal dunia di depan mata kepala saya sendiri,” katanya.
Pemerintah Saudi Raja Salman mengarahkan semakan dibuat manakala menteri kesihatan Arab Saudi Khalid al-Falih berkata siasatan akan dijalankan segera dan angka sebenar jemaah terkorban dan tercedera akan dihitung.
Dalam kejadian kelmarin, kematian berlaku dalam kejadian rempuhan ketika ibadah melontar jamrah di Mina.
Kali terakhir tragedi rempuhan berlaku di Mina adalah pada 2006 yang menyaksikan 346 jemaah maut manakala 289 cedera.
Menurut laporan Bernama, kejadian berlaku di Street 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Mekah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula.
Gambar-gambar yang disiarkan di Twitter pertahanan awam menunjukkan jemaah terbaring di atas pengusung manakala pekerja penyelamat kelihatan mengangkat mereka ke dalam ambulans.
Dua minggu lalu 110 orang terkorban di Mekah apabila kren sebuah projek pembesaran, runtuh semasa ribut dan menghempap bahagian halaman utama Masjidil Haram, dan menimpa jemaah di bawahnya.
