Pemuda Umno, PERKASA mahu k'jaan bertegas pada Huang
Pemuda Umno menyeru kepada Wisma Putra supaya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Duta Besar China ke Malaysia Dr Huang Hui Kang ekoran tindakan beliau yang dianggap "keterlaluan".
Pengerusi Biro Antarabangsa pergerakan itu Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata pihak memandang serius kenyataan yang dibuat susulan lawatan beliau ke Jalan Petaling pada Jumaat.
"Biro Antarabangsa Pemuda Umno Malaysia ingin menyelar tindakan Duta Besar China ke Malaysia De Huang Hui Kang, yang jelas telah mencampur tangan dalam urusan dalaman negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Hazali juga berkata tindakan duta China itu yang turun padang ke kawasan itu dianggap 'sensitif' ketika ini dan kenyataan beliau juga menimbulkan persoalan.
Pada Jumaat lalu, Huang mengedarkan kuih bulan kepada peniaga di kawasan itu sempena perayaan pertengahan musim luruh yang jatuh pada hari ini.
Tetapi dalam kenyataannya, beliau berkata kerajaan China menentang diskriminasi kaum dan ekstremisme, yang merujuk secara halus kepada protes berbaur perkauman di Jalan Petaling yang diketuai tokoh yang dikaitkan dengan kerajaan, telah mengejutkan Putrajaya.
Wisma Putra dilaporkan memanggil Dr Huang atas kenyataan beliau itu dan beliau dijangka memberi penerangan kepada pegawai Malaysia esok.
Bagaimanapun Kedutaan China di Malaysia dilapor mempertahankan dutanya ke Jalan Petaling dengan menyatakan ia semata-mata "lawatan muhibah" sempena perayaan pertengahan musim luruh.
Mohamed Hazali juga berkata hubungan diplomasi Malaysia-China selama lebih empat dekad, ditambah pula dengan jalinan 'diplomasi panda', maka sepatutnya persahabatan kedua-dua negara dipertingkatkan dan dipelihara dengan baik.
"Di atas semangat persahabatan dan juga hubungan dua-hala yang lama telah terjalin ini, kami merasakan bahawa tindakan Dr Huang itu amat tidak sesuai dan kami menyeru agar beliau menjelaskan kedudukan beliau.
"Janganlah kerana satu insiden terpencil ini, boleh menjejaskan hubungan yang baik diantara Kuala Lumpur dan Beijing," katanya.
Sementara itu akhbar Minggu Malaysia hari ini dalam ruangan pojok Awang Selamat mengecam Huang supaya "menjaga tepi kain sendiri" dan tidak mencampuri urusan negara ini.
Dalam laporan itu, Awang Selamat berkata sebagai seorang diplomat, Huang sepatutnya tahu batas dalam menterjemahkan polisi negara sendiri dengan tingkah laku.
"Dr Huang seharusnya beri keyakinan kepada pihak berkuasa negara ini menangani isu ancaman demonstrasi haram di Petaling Street, yang tidak pun berlaku.
"Alangkah baiknya jika duta itu beri lebih tumpuan kepada isu lambakan warga China dalam industri pelacuran dan urut di negara ini ketika kerajaan China lebih tegas menentang gejala itu di tanah air mereka.
Apa pun, Dr. Huang perlu memohon maaf atau pulang sahaja ke negaranya dan digantikan dengan diplomat lain yang lebih tahu adab. Harap-harap itu pelanggaran yang pertama dan terakhir daripada seorang diplomat China.
"Jagalah tepi kain sendiri dan janganlah lebih sudu daripada kuah," katanya seperti dilapor akhbar itu.
Sementara NGO pendesak Melayu PERKASA amat kesal dan menentang keras tindakan "biadap" Huang yang dianggap sebagai mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara ini.
Ketua Penerangan PERKASA Malaysia Hassan Basri Muhammad berkata kenyataan Huang itu juga memperlihatkan seolah-olah kerajaan Malaysia menindas dan tidak berlaku adil kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina.
"Walhal kaum Cina di Malaysia yang paling beruntung tanpa diskriminasi dan diberi jaminan hak bersama dalam sebuah masyarakat majmuk seperti pendidikan, politik, sosial, ekonomi, kesihatan dan sebagainya.
"Sebagai contoh dalam penguasaan ekonomi dibuktikan bahawa jumlah majoriti jutawan di Malayaia dikuasai oleh kaum Cina," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata PERKASA menggesa Wisma Putra memberi amaran keras kepada Huang supaya menjaga tingkahlaku dan tahu batas polisi sebuah negara berdaulat.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.