Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga ulang tuntutan tukar doktor Anwar
Diterbitkan:  Sep 28, 2015 12:30 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi tuntutan agar Datuk Dr S Jeyaindran digugurkan sebagai ketua panel yang merawat bekas ketua pembangkang itu.

Malah, dalam satu kenyataan peguamnya Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Latheefa Koya berkata keluarganya juga meminta pakar bedah ortopedik pilihannya diberikan akses untuk merawat Anwar.

Selain itu, keluarga Anwar turut mengecam tindakan kerajaan yang didakwa melewat-lewatkan rawatan bekas ketua pembangkang itu.

"Oleh itu, kami bagi pihak keluarga Anwar, menuntut Dr Jeyaindran digugurkan sebagai ketua panel pakar perubatan Anwar dan sebagai pakar perubatan beliau.

"Dan, Anwar dimasukkan ke wad dengan segera dan dibenarkan berunding dengan pakar bedah ortopedik pilihannya serta pembedahan dijalankan segera," kata mereka.

Keluarga Anwar memaklumkan ketua umum PKR itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pagi ini selepas mengadu sakit dan bagi menjalani rawatan susulan.

Menurut peguam Anwar lagi, kenyataan ketua pengarah Kementerian Kesihatan sebelum ini bahawa terdapat pakar yang memberi rawatan kepada ketua umum PKR itu adalah tidak benar.

"Ketua pengarah mendakwa mereka sekarang benarkan seorang konsultan ortopedik pilihan keluarga Anwar untuk memberi pandangan kedua.

"Bagaimanapun, permohonan ini sudah lama dibuat dan tidak pernah dipenuhi setakat ini. Kenapa ia dilengah-lengahkan?" soal mereka.

HKL: Tiada bukti masalah akut

Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum ini mendakwa pemeriksaan perubatan terhadap Anwar tidak menemukan bukti beliau mengalami sebarang keadaan kesihatan akut.

Dalam kenyataannya, hospital itu berkata, Anwar dibenarkan keluar setelah menjalani semua pemeriksaan perubatan yang dijadualkan.

Menurut HKL lagi panel pakar perunding yang merawat Anwar sering mengadakan pertemuan dengan beliau dan keluarganya serta sentiasa memaklumkan kepada mereka tentang dapatan dan pelan pengurusan.

Kali terakhir bekas ketua pembangkang itu dimasukkan ke HKL pada Jun lepas untuk menjalani satu siri pemeriksaan perubatan.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Lihat Komen
ADS