Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman setahun penjara ke atas bekas menteri besar Selangor Dr Khir Toyo selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah minggu lalu.

Mahkamah itu juga menolak tawaran doktor gigi berusia 50 tahun itu untuk melakukan khidmat masyarakat dengan menawarkan rawatan pergigian percuma kepada orang miskin sebagai ganti kepada hukuman penjara.

"Dalam analisis akhir, hukuman itu mesti mencerminkan keseriusan kesalahan itu," kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Hakim Zulkefli berkata peguam Khir, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah berhujah bahawa hukuman penjara perlu menjadi pilihan terakhir kerana anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tiada keganasan terlibat.

Menurutnya, prinsipnya adalah hukuman dijatuhkan mahkamah tidak wajar diubah kecuali ia benar-benar terkhilaf, iaitu dari segi tidak sah atau tidak sesuai untuk membuktikan fakta dan keadaan.

Hakim Zulkefli berkata khidmat masyarakat adalah tidak mencukupi kerana ia adalah untuk pesalah muda dan kesalahan ringan.

"Khidmat masyarakat tidak terpakai. Tindakannya (Khir) telah menyebabkan gangguan keyakinan terhadap penjawat awam," katanya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata hukuman penjara itu sesuai dan wajar bagi kesalahan itu.

"Rasuah dalam semua cara dan bentuk tidak boleh dibiarkan. Hukuman denda tidak dapat menghantar mesej itu.

"Begitu juga dengan program khidmat masyarakat. Dalam apa-apa keadaan, khidmat masyarakat adalah opsyen hanya untuk kes pesalah muda mengikut Seksyen 293 Kanun Acara Jenayah, khidmat masyarakat bagi kes ini tidak terpakai kepada perayu (Dr Mohamad Khir)," kata Hakim Zulkefli dalam mahkamah yang penuh sesak.

Beliau berkata kesalahan itu, yang telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, bukan perkara kecil dan penjara setahun, yang tidak dirayu oleh pihak pendakwa raya, tidak terlalu berat.

"Perayu telah mempergunakan kedudukannya. Satu daripada tujuan Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah untuk mencegah rasuah seumpama itu," katanya.

Selepas keputusan itu, Dr Mohamad Khir, 50, yang kelihatan tenang dilihat bercakap dengan pasukan peguam mewakilinya termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau kemudian berpaling menghadap ke arah galeri awam dan berkata "Terima Kasih semua" sebelum dibawa ke lokap mahkamah.

Isterinya, Zahrah Kechik, 50, yang juga kelihatan tenang, mengiringi suaminya ke lokap mahkamah sebelum suaminya dihantar ke penjara Kajang dengan kereta polis pada jam 2.52 petang.

Pada 22 September, panel itu menolak rayuan akhir Dr Mohamad Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Bekas ADUN Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dr Mohamad Khir, 50, yang berada dalam keadaan berdiri dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang semasa mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Mahkamah penuh sesak dengan anggota keluarga, orang ramai dan wakil media. Isteri beliau Zahrah, 50, turut hadir.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Tan Sri Hasan Lah, Hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Datuk Ramly Ali.

Dr Mohamad Khir, bapa enam anak, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya hartanah terbabit dilucuthak dan diserahkan kepada kerajaan.

Doktor gigi itu membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 30 Mei 2013.

Dr Mohamad Khir diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani mewakili pihak pendakwa raya.

Dalam penghakimannya, Hakim Zulkefli berkata panel tidak dapat bersetuju dengan hujahan Muhamad Shafee bahawa perkara pokok dalam soal tanah itu adalah wang bezaan.

Beliau berkata dengan sabitan itu, Dr Mohamad Khir tidak dapat mengelak hartanah dalam kes itu dirampas.

"Dalam kes ini bank yang mengeluarkan caj berhak terhadap caj itu, bukan pemilik. Terdapat halangan pada tanah yang diperkatakan ini. Kami, dengan itu sebulat suara mengekalkan perintah perampasan tanah itu tetapi tertakluk kepada caj itu," katanya.

Menurutnya tanah itu tidak akan dirampas secara sewenang-wenangnya dan perampasan itu adalah mengikut undang-undang.

Beliau berkata Dr Mohamad Khir dan isterinya ialah pemilik berdaftar dan dengan itu mereka pemilik tanah itu.

Hakim juga berkata untuk menyatakan bahawa dalam memutuskan hukuman sesuai pihak mahkamah telah mengambil pertimbangan kepentingan awam, adalah ungkapan lapuk.

Beliau berkata prinsipnya adalah hukuman dijatuhkan mahkamah tidak wajar diubah kecuali ia benar-benar terkhilaf, iaitu dari segi tidak sah atau tidak sesuai untuk membuktikan fakta dan keadaan.

Hakim Zulkefli berkata oleh kerana menjatuhkan hukuman adalah atas budi bicara, mahkamah rayuan tidak perlu tergesa-gesa untuk campur tangan berhubung hukuman dikenakan mahkamah lebih rendah dan faktor rayuan juga tidak boleh diabaikan.

"Mahkamah mempunyai budi bicara untuk bertolak ansur dan berbelas kasihan dengan syarat terdapat keadaan untuk peringanan dan demi kepentingan awam untuk berbuat demikian. Tetapi dalam analisis terakhir, hukuman mesti mencerminkan betapa serius atau kecilnya kesalahan itu," katanya.

Hakim Zulkefli berkata Dr Mohamad Khir dalam rayuannya, antara lain menawarkan untuk melakukan khidmat masyarakat iaitu rawatan pergigian percuma kepada golongan miskin, untuk beberapa hari dalam seminggu bagi tempoh satu atau dua tahun bagi menggantikan hukuman penjara.

Terdahulu, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas anak guamnya, Muhammad Shafee mengadu tentang dua artikel diterbitkan dalam akhbar The Sun yang menurutnya menimbulkan prejudis terhadap Dr Mohamad Khir.

Peguam itu berkata artikel itu diterbitkan selepas mahkamah menangguhkan ke hari ini untuk keputusan menjatuhkan hukuman ke atas anak guamnya.

Hakim Zulkefli berkata panel mengambil perhatian aduan Muhammad Shafee tetapi menjelaskan mahkamah membuat keputusan terhadap kes itu hanya berdasarkan fakta dan keterangan diberikan di hadapan mereka.

"Tiada daripada laporan-laporan itu mempengaruhi kami dalam membuat keputusan. Kami tidak dipengaruhi oleh mana-mana laporan oleh media," tegas hakim itu.

Lihat Komen
ADS