TPM: Masalah jerebu diharap selesai tahun depan
Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh republik Indonesia bagi menyelesaikan masalah jerebu, Malaysia berharap masalah yang berlaku saban tahun itu, berjaya diselesaikan pada tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pihaknya menghargai usaha yang ditunjukkan oleh Indonesia untuk mengatasi masalah jerebu dan berharap ia bukannya sekadar janji.
"Kami menghargai komitmen yang dilakukan Indonesia dan kami berharap komitmen itu dapat di terjemahkan dalam tindakan," ujarnya lagi.
Menurutnya, usaha yang ditunjukkan oleh negara Indonesia dalam menangani masalah jerebu ini menunjukkan komitmen republik itu untuk menyelesaikan masalah itu.
"Pihak Indonesia yang diketuai oleh Ketua Polis republik itu telah menyatakan negara itu akan mengambil tindakan perundangan. Ia termasuk membekukan aset di kawasan berkenaan.
"Pada waktu yang sama mengambil tindakan perundangan yang lebih ketat kepada pengusaha dan pemilik kebun, tidak kira ia dimiliki oleh rakyat negara berkenaan atau syarikat yang dimiliki pelabur asing," katanya kepada pemberita ketika waktu rehat Persidangan Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan kali ke-10 di ibu negara hari ini.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara Indonesia, Badrodin Haiti menjelaskan sehingga kini seramai 210 orang pesalah telah dibawa ke muka pengadilan kerana menyebabkan berlakunya jerebu.
Menurutnya, jerebu berpunca daripada syarikat asing yang melabur ke negara itu tetapi menggunakan rakyat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja pembakaran hutan.
“Secara rasminya menggunakan nama orang Indonesia tapi secara sebetulnya guna saham orang asing.
“Kita sedang selidiki kerana biasanya pelabur asing itu biasanya bukan menggunakan nama sendiri tapi atas nama orang Indonesia,” kata Badrodin yang kurang berpuas hati dengan laporan buruk media Singapura mengenai jerebu.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.