Bekas menteri: Huang diplomat kelas pertama

   

Ketika ramai pihak, terutamanya daripada Umno, mengkritik duta China Huang Huikang, bekas menteri pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir pula berpandangan sebaliknya.

Beliau yang juga presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) berkata duta ke Malaysia itu seorang diplomat kelas pertama yang berusaha ke arah hubungan baik Malaysia-China.

“Rakyat Malaysia banyak berhutang budi kepada Huang bagi menjernihkan keadaan dan membawa kembali kehangatan dan keakraban hubungan kedua-dua negara.

“Beliau seorang diplomat kelas pertama dan saya yakin dia tahu apa yang beliau lakukan. Kita doakan yang terbaik untuk beliau,” kata Kadir dalam kenyataannya hari ini.

Mengaku secara peribadi berkawan dengan duta itu, Kadir berkata ketika Malaysia berhadapan insiden kehilangan pesawat MH370, Huang antara yang bangkit mempertahankan negara ini dan membetulkan salah tanggap media luar.

Kadir berpendapat berlaku salah faham terhadap kenyataan Huang berkaitan hubungan kaum di Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang didakwa cuba campur tangan dalam urusan Malaysia.

“Dalam perbualan dengan semua orang, dia selalu menyebut tentang betapa bertuahnya rakyat Malaysia termasuk bangsa Cina di negara ini berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain.

“Perlembagaan Malaysia dan kerajaan sendiri membenarkan kebebasan penuh setiap kaum mengamalkan cara hidup mereka sendiri dengan mengekalkan bahasa, budaya dan tradisi.

“Beliau bercerita tentang bagaimana indahnya apabila semua rakyat Malaysia menerima dan berbangga dengan kepelbagaian ini,” katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In