Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azalina: Sebelum ini ada usul undi tak percaya
Diterbitkan:  Sep 30, 2015 3:13 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri boleh dikemukakan walaupun tiada peruntukan khusus dalam peraturan mesyuarat mengenai perkara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata usul undi tak percaya kepada PM pernah dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi pada Jun 2008 mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).

Bagaimanapun, Azalina berkata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul itu bawah peraturan 18(7) kerana ia dikemukakan untuk mengambil ketetapan tidak percaya, sedangkan peraturan yang digunakan Wan Azizah adalah untuk merunding.

"Maka, ini adalah jelas bahawa bukannya usul tidak dibenarkan tetapi ia bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat," kata Azalina dalam blognya hari ini.

Kenyataan Azalina itu dibuat selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang membidas bagaimana usul undi tak percaya tidak boleh berlaku di Malaysia speaker akan menyekatnya.

Menulis dalam blognya, Dr Mahahtir mendakwa sebelum ini tidak pernah ada undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat disebabkan tiada pemimpin yang seteruk Datuk Seri Najib Razak.

Azalina berkata terdapat juga usul persendirian MP pembangkang atau kerajaan yang dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat .

Menurutnya lagi mana-mana usul yang membabitkan pengundian sekurang-kurangnya memerlukan majoriti mudah untuk kelulusan, jika tidak, usul itu akan tewas.

"Sebagai contohnya, tidak dinafikan bahawa gabungan pembangkang yang mempunyai 87 ahli parlimen yang boleh membuang undi tidak percaya terhadap YAB PM sekiranya usul ini dibahas dan dibuka untuk diputuskan.

"Namun, angka itu tidak mencukupi di mana gabungan itu memerlukan sekurang-kurangnya 25 lagi ahli parlimen untuk mencapai majoriti mudah bagi luluskan usul ini, yang mana ini tidak mungkin akan berlaku dan hakikatnya majoriti Ahli Parlimen menyokong “Leader Of The House” atau Ketua Majlis Mesyuarat iaitu YAB Perdana Menteri," katanya.

Oleh katanya, Azalina berkata mana-mana ahli parlimen tidak wajar melakukan sebarang sabotaj atau cuba menggulingkan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat dengan cara yang tidak demokratik.

"Kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira falsafah dan ideologi politik masing-masing, harus sentiasa mendukung sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS