Menteri: Sesi khas PM jawab soalan membebankan
Tidak semua pihak melihat kebaikan daripada idea sesi khas menjawab soalan untuk perdana menteri di parlimen.
Bagi Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz, masa untuk idea itu diperkenalkan tidak kena.
“Ia akan lebih bebankan (perdana menteri) kerana beliau mempunyai banyak perkara untuk dilaksanakan memandangkan politik Malaysia yang amat menuntut.
“Lagi pun, kami tidak boleh cakap banyak dan tepat ketika menjawab dalam masa singkat. Akhirnya anggota parlimen tidak gembira,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Beliau percaya cara terbaik untuk mendapatkan jawapan perdana menteri parlimen buat masa ini masih melalui jawapan bertulis.
Bagaimanapun terdapat juga anggota parlimen BN yang melihat perkara itu tidak akan menjadi masalah dan yakin Najib “tahu bagaimana hendak jawab”.
Bernama kelmarin melaporkan “Prime Minister Question Time” yang dilaksanakan Australia menarik minat parlimen Malaysia untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pelaksanaannya.
Ketua cabang eksekutif negara Datuk Seri Najib Razak kini sedang diasak dalam dakwaan skandal melibatkan dirinya dan syarikat pelaburan negara 1MDB yang mengumpul hutang besar.
Rekod kehadiran Najib di parlimen juga dipertikaikan anggota parlimen.
Tahun lepas, wakil Bakri (DAP) Er Teck Hwa mendedahkan Najib hanya hadir 26 daripada 358 hari selama beliau menjadi perdana menteri.
Tarikh itu dikira bermula 2009 hingga 17 Jun 2014.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.