Pro-M boleh rangka strategi baru untuk UM
ULASAN Pilihan raya kampus Universiti Malaya melabuhkan tirainya pada 17 September lalu dengan keputusan yang telah dijangka.
Jentera Penggerak Mahasiswa, satu-satunya parti yang melibatkan diri dalam pilihan raya kampus pada sesi ini berjaya merampas 26 kerusi fakulti dan 6 kerusi umum.
Kerusi selebihnya dimenangi oleh calon bebas yang bertanding. Pemilihan semula akan dijalankan bagi Fakulti Sastera dan Sains Sosial kerana masalah penjumlahan.
Belum terlewat untuk saya ucapkan tahniah kepada siapapun yang telah berjaya dipilih atau terpilih untuk menjadi wakil pelajar mereka.
Keputusan seteru kuat Penggerak Mahasiswa iaitu pro-Mahasiswa UM untuk menarik diri daripada pilihan raya kampus menimbulkan banyak persoalan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Universiti Malaya sendiri.
Keputusan ini memberi kesan besar kepada perjalanan politik kampus terutama di Universiti Malaya sendiri.
Saya mengenalpasti beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada tindakan pro-M untuk menarik diri dari pilihan raya tersebut dan implikasinya kepada suasana politik kampus.
Pertama sekali, ia mungkin disebabkan perubahan ke atas peraturan pilihan raya kampus pada tahun ini, yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diselaraskan di semua Universiti awam.
Peraturan baru
Sebelum ini, pengurusan universiti diberi autonomi untuk melaksanakan pilihan raya kampus pada tarikh yang bersesuaian dan wakil pelajar yang terpilih diberi tempoh selama setahun atau dua semester untuk melaksanakan agenda mahasiswa yang telah dirancang.
Pilihan raya kampus perlu diadakan dalam tempoh 45 hari selepas kemasukan pelajar pada setiap tahun.
Tindakan kementerian menyelaras tarikh pilihan raya itu mungkin satu tindakan drastik bagi mengawal politik kampus. Ini kerana, majlis perwakilan mahasiswa sebelum ini dikuasai oleh kelompok mahasiswa yang keras mengkritik dasar kerajaan.
Penyelarasan tarikh ini memberi impak besar kepada gerak kerja jentera Pro-Mahasiswa dalam mengatur strategi politik mereka.
Dengan kata lain, Pro-Mahasiswa dilihat kurang bersedia untuk menghadapi pilihan raya memandangkan ini pertama kali diadakan selepas perubahan peraturan dibuat.
Susulan kepada perubahan drastik ini, gerak kerja Penggerak Mahasiswa dilihat lebih bersedia dengan strategi yang lebih tersusun. Mereka nampaknya mampu dapat memilih calon dengan lebih awak dan persiapan jenteranya juga berjalan dengan baik dan teratur.
Ada juga pemerhati yang melihat, Penggerak Mahasiswa lebih bersedia untuk menghadapi pilihan raya kampus kali ini kerana sudah berehat selama empat tahun daripada pimpinan PMUM akibat kekalahan berturut-turut mereka kepada Pro-Mahasiswa.
Selain itu juga kemenangan mereka juga mungkin disebabkan status mereka sebagai gerakan mahasiswa proestablishment yang mempunyai hubungan baik dengan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).
Kelebihan Penggerak Mahasiswa
Penggerak Mahasiswa mendapat manfaat secara langsung daripada hubungan itu kerana mengetahui lebih awal mengenai perubahan ini dan terlibat secara langsung dalam Minggu Haluan Siswa(MHS).
Para pemimpin mereka yang di kolej kediaman mendapat banyak peluang untuk berinteraksi dengan mahasiswa terutama mahasiswa baru tahun pertama.
Di pihak Pro-Mahasiswa pula, selain faktor kurang bersedia menghadapi perubahan dalam peraturan pilihan raya, wujud juga beberapa faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan menarik diri.
Perpecahan dalam pimpinan Pro-Mahasiswa sendiri dilihat menjadi punca gerak kerja mereka tergendala. Sebahagian pimpinan dilihat tidak bersefahaman dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan parti.
Pro-Mahasiswa UM merupakan sebuah parti politik kampus yang cukup gah dalam dunia aktivisme mahasiswa.
Sebahagian besar pimpinan Pro-Mahasiswa UM terlibat secara langsung mengendali, menganjur dan mengetuai gerakan aktivis mahasiswa lain dalam mengetengahkan isu mahasiswa dan rakyat Malaysia.
Mereka juga dilihat cukup vokal dalam menyuarakan pendapat dan cakna dalam mendepani isu semasa dalam negara.
Namun dek kerana sibuk mengulas isu semasa negara seperti skandal 1MDB, mereka tidak dapat memberikan fokus penuh dalam menghadapi pilihan raya kampus.
Calon kurang bersedia?
Setiap tahun pimpinan Pro-Mahasiswa UM akan bertukar ganti. Yang lama akan digantikan dengan muka-muka baru. Perubahan ini baik dalam konteks memberikan peluang kepada generasi baru menggerakkan jentera dengan cara baru yang lebih baik.
Tetapi kita juga perlu sedar bahawa penukaran ini juga bermakna kita memberi tanggungjawab gerak kerja politik kepada orang baru, yang mungkin kurang berpengalaman atau tidak bijak dalam merencana gerak kerja mereka.
Pada pendapat saya, mungkin barisan calon baru Pro-Mahasiswa tidak dicukupkan dengan pengalaman dan ilmu dalam menghadapi asam garam politik kampus terutama di Universiti Malaya.
Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan yang dibuat ini adalah atas faktor strategi baru politik Pro-Mahasiswa UM. Mereka telah menguasai PMUM selama empat penggal semenjak sesi 2011/12.
Tindakan menarik diri dalam pilihan raya kampus mungkin boleh dikatakan sebagai titik untuk mereka menilai semula setiap gerak kerja mereka selama empat penggal itu.
Ia akan membolehkan Pro-Mahasiswa menstruktur semula strategi politik dengan membawa idea baru yang lebih baik bagi menghadapi sekatan yang dilakukan oleh HEPA ke atas gerakan mereka.
Keputusan menarik diri dalam pilihan raya kampus pada sesi ini merupakan satu keputusan yang penting dalam mencorak proses demokrasi kampus.
Tindakan mereka memberikan impak yang besar yang melibatkan suasana di daalam dan juga di luar kampus.
Dalam tulisan sebelum ini, saya telah menjelaskan bahawa ketiadaan Pro-Mahasiswa telah membuka jalan kepada kuasa ketiga untuk turut terlibat dalam pilihan raya kampus.
Kuasa ketiga
Pada kali ini, muncul beberapa kumpulan baru, antaranya HARMONI daripada Ikram Siswa, PEMBINA dan beberapa calon bebas telah memeriahkan lagi suasana politik UM.
Penglibatan mereka secara tidak langsung memberikan pilihan yang lebih banyak kepada mahasiswa dalam memilih wakil pelajar mereka yang mungkin lebih baik daripada calon partisan.
Penglibatan lebih banyak calon bebas dan kuasa ketiga ini juga dilihat sebagai satu langkah yang perlu diteruskan bagi mengubah suasana politik partisan yang melampau dan merosakkan.
Ketiadaan Pro-Mahasiswa dalam PRK sememangnya memberi jalan mudah kepada Penggerak Mahasiswa untuk menguasai PMUM.
Kemenangan mereka bagaimanapun telah disalahgunakan oleh parti politik luar untuk menunjukkan sokongan mahasiswa kepada parti tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan bahawa beliau mendapat sokongan dan semakin diterima oleh mahasiswa disebabkan kemenangan pro-Aspirasi atau Penggerak Mahasiswa.
Ia mungkin menguatkan lagi sangkaan sesetengah pihak yang menggelarkan mereka sebagai Umno kampus disebabkan hubungan parti pemerintah dengan parti pro-establishment di kampus.
Simbol protes
Sebahagian besar mahasiswa menyambut baik keputusan pro-Mahasiswa untuk terus menarik diri daripada PRK pada kali ini.
Secara tidak langsung, ia adalah satu simbolik menolak segala bentuk campur tangan Kementerian Pendidikan yang dikawal oleh parti pemerintah dalam pengurusan universiti.
Sebahagian yang lain juga berpendapat bahawa usaha menguasai PMUM adalah satu usaha yang sia-sia disebabkan sekatan terhadap autonomi mahasiswa yang dilakukan oleh HEPA yang dipercayai atas arahan pihak berkepentingan.
Pro-Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa, kedua-duanya adalah gerakan yang mendepani isu-isu mahasiswa.
Walaupun wujudnya perbezaan ideologi di antara dua parti ini, perjuangan yang dipegang oleh kedua-dua parti ini untuk membawa suara mahasiswa perlu diteruskan.
Suasana politik kampus akan mencerminkan suasana politik negara pada masa akan datang.
Kita tidak mahu meneruskan amalan politik yang tidak sihat yang dilakukan oleh ahli politik sedia ada. Maka perubahan itu perlu dilakukan dari dalam kampus sendiri.
Wujudnya parti politik yang berbeza tidak bermakna akan berlaku perpecahan yang lebih parah. Perbezaan ini perlu dirai dan dijadikan medium timbal balik dalam membuat sebarang keputusan untuk dapatan yang lebih baik.
MOHAMAD AMIR AZEEM MOHD NASIR bekas anggota exco Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaysia.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.