Kumpulan debat Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia digesa menyelesaikan isu penyertaannya dalam pertandingan bahas di sebuah universiti Singapura di peringkat kampus.
Ketua Penolong Pendaftar USM, Sharifah Munirah Syed Mohamed, berkata isu-isu dalaman universiti harus terlebih dahulu ditangani oleh pihak pentadbiran tanpa perlu campur tangan pihak lain.
"Kenyataan yang berterusan dalam media hanya akan menyebabkan isu berkenaan berpanjangan tanpa penyelesaian yang sewajarnya," katanya hari ini.
Menurut laporan akhbar Sabtu lalu, Pengerusi PBT Lee Yen Ting mendakwa USM tidak membenarkan kumpulan bahas itu menyertai pertandingan Debat Antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia yang dijadualkan berlangsung 20 hingga 27 Mei di republik itu.
Kumpulan debat PBT memohon untuk menyertai acara itu dua bulan lalu tetapi USM tidak memberikan sebarang jawapan sehingga Khamis, dua hari sebelum pertandingan berlangsung.
Beliau dilaporkan berkata lagi, USM patut memaklumkan terlebih awal permohonan persatuan itu tidak mengikut tatacara universiti.
'Tiada pilih kasih'
Lee memberitahu malaysiakini hari ini, USM memberikan tiga alasan ketika menolak permohonan itu.
Menurutnya, alasan pertama, penganjur harus menghantar jemputan mereka terus kepada USM dan bukannya kepada PBT; kedua, kumpulan debat itu perlu memohon kebenaran daripada Kementerian Luar Negeri sebulan lalu; dan ketiga, surat jemputan Universiti Teknologi Nanyang itu tiada kepala surat.
Sharifah Munirah menegaskan lagi, USM selama ini memberi keutamaan kepada pembangunan intelek pelajar sama ada dalam atau luar negara tanpa mengira kaum atau agama.
"Tidak timbul soal pilih kasih atau sikap double standard dalam hal yang sebegini," katanya.
USM juga menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad agar semua pihak menghentikan sebarang kenyataan yang boleh dikaitkan dengan isu perkauman.
Musa semalam dilaporkan berkata persatuan pelajar berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana mengeluarkan kenyataan berbau perkauman. Beliau juga mengkritik laporan-laporan akhbar berbahasa Cina yang membangkitkan sentimen perkauman berhubung isu tersebut.
Menurut laporan Sinchew-i.com hari ini, Naib Canselor USM Profesor Dzulkifli Abdul Razak berkata pelajar dilarang mewakili universiti tanpa keizinan rasmi tetapi mereka boleh berbuat demikian secara persendirian.
Tambahnya, universiti bagaimanapun tidak akan membuang mereka daripada universiti atas isu kecil ini.
