Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri sokong penuh tindakan mufti Pahang
Diterbitkan:  Oct 1, 2015 11:28 PM
Dikemaskini: 4:30 PM

Kerajaan negeri Pahang menyokong penuh tindakan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang mempertahankan isi kandungan

khutbah Aidiladha Khamis lepas.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kandungan khutbah berkenaan tidak lari daripada landasan yang sepatutnya iaitu memperingati jemaah tentang keadaan semasa, selaras dengan tujuan khutbah itu.

"Khutbah merupakan salah satu rukun dalam sembahyang Jumaat dan sembahyang Hari Raya Aidilfitri serta Aidiladha.

"Ia merupakan satu amanat yang dibacakan kepada jemaah untuk peringatan tentang isu yang berkisar soal kehidupan dan kejadian seharian supaya mereka boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian melalui kiriman pesanan ringkas kepada media di Kuantan hari ini.

Adnan berkata, bersesuaian dengan keadaan umat Islam pada masa kini yang dilihat tidak lagi bersefahaman, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyediakan khutbah yang antara lain intipatinya menyentuh tentang pentingnya umat Islam hidup bersatu padu serta harmoni antara satu sama lain.

"Tahniah kepada Mufti Pahang kerana telah menyusun khutbah yang begitu padat dan penuh bersemangat.

"Mana-mana pihak yang berkenaan sepatutnya tidak mempertikaikan khutbah berkenaan yang merupakan sebahagian dari rukun sembahyang Aidiladha," katanya.

Sehubungan itu Adnan berkata kerajaan negeri bersedia mempertahankan Abdul Rahman termasuk menyediakan pasukan peguam jika hal ini dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak.

Sebelum ini, DAP melalui Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri memberi masa lima hari kepada JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Abdul Rahman dalam reaksinya menyatakan rasa tidak gentar dengan ancaman DAP itu kerana khutbah tersebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS