Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang veteran Umno berkata, ahli politik telah mengubah kepercayaan umat Islam bahawa rezeki manusia diperoleh daripada manusia dan bukannya Allah.

Kata Tan Sri Sanusi Junid ( gambar ), keadaan itu bertentangan dengan hadis Nabi Muhammad yang menegaskan, sembilan daripada 10 punca rezeki diperoleh daripada aktiviti perniagaan.

"Kini rakyat percaya bahawa ahli politik yang memberikan kekayaan dan mampu mengubah taraf kehidupan masing-masing.

"Hanya orang politik saja yang mampu 'menafikan hadis nabi'. Sepatutnya, sembilan daripada 10 (sumber) rezeki datangnya dari perniagaan, tetapi orang politik kata, sembilan dari sepuluh pintu rezeki adalah dari pintu politik," katanya sewaktu berucap di majlis minum petang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Ampang, Selangor hari ini.

Majlis Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa itu dianjurkan Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Pandan.

Bangsa yang bangsat

Sanusi yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Umno berkata, jika kepercayaan begitu dibiarkan, orang Melayu menjadi "bangsa yang bangsat" dan tidak mustahil akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Selagi kita tidak betulkan keadaan ini selagi itu kita jadi bangsa yang bangsat dan akan kalah dalam pilihan raya umum nanti," ujarnya.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Kedah itu turut mendakwa Malaysia sudah 'menjuarai pertandingan' negara yang banyak melakukan rasuah.

"Orang Indonesia menangis kerana kalah dengan kita. Bukan kalah badminton (tetapi) kita menang dari segi rasuah," ujarnya disambut tepukan kira-kira 400 hadirin yang hadir.

Sementara itu Ketua Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman berkata sebagai "pemimpin kecil" beliau berharap ada cawangan lain bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan parti itu ketika ini.

Sedang sesak nak bernafas

Menafikan berniat jahat untuk menghancurkan Umno, Syed Saifuddin berkata tindakan Umno cawangan itu memanggil Dr Mahathir adalah untuk "membangunkan suara rakyat".

"Siapa kata kita nak hancurkan parti? Saya jemput Dr Mahathir, kita tiada konspirasi untuk jatuhkan kerajaan tapi bangunkan suara rakyat," ujarnya.

Menurut beliau ( gambar ) perubahan besar perlu dilakukan segera di peringkat pucuk pimpinan parti jika ahli tidak mahu melihat pertubuhan itu terkubur pada piihan raya umum ke-14 nanti.

Kali terakhir pilihan raya umum diadakan di negara ini ialah pada 2013. Mengikut perlembagaan sesebuah kerajaan mempunyai tempoh lima tahun sebelum perlu membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum baru.

Kata Syed Saifuddin, Umno peru mengakui parti itu kini dalam keadaan "sesak tak bernafas".

"Kalau Umno terus ego dakwa parti dan pemerintahan masih kuat, pada pilihan raya akan datang kita akan berkubur sebagai sebuah parti.

"Jangan biarkan Dr Mahathir keseorangan dalam perjuangan fisabilillah . (Ini) bukan soal kewangan tapi (kena lakukan kerana) semangat perjuangan.

"Kita kena usaha betulkan keadaan demi agama dan negara," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS