MSF beri amaran, harga ubat akan meningkat

   

NGO Doctors Without Borders (MSF) memberi amaran bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang selesai dirundingkan semalam akan menyebabkan kenaikan mendadak ke atas harga ubat.

Selain itu, MSF juga bimbang TPPA akan menyebabkan pesakit sukar mendapat akses kepada rawatan untuk penyakit kritikal.

Laporan Aljazeera America menyebut, MSF serta beberapa badan kemanusiaan antarabangsa lain menjangka jutaan pengidap penyakit kritikal seperti HIV, hepatitis C, Ebola akan terjejas secara langsung daripada TPPA

Badan berkenaan memberi amaran, TPPA memberi kesan langsung kepada industri farmaseutikal kerana syarikat ubat sukar membangunkan ubat berdasarkan kajian sedia ada.

Hal ini kerana TPPA akan melanjutkan tempoh yang membenarkan sesebuah pengeluar ubat menyekat pengeluar ubat lain daripada memperolehi data kajian mereka.

Para pengeluar ubat besar, yang digelar 'big pharma' dilaporkan mahu diberi tempoh eksklusif sehingga 12 tahun untuk mendorong inovasi produk mereka.

MSF menyifatkan rundingan tersebut sebagai “rundingan perjanjian perdagangan paling buruk dalam sejarah untuk akses perubatan di negara membangun”.

Rundingan TPPA di antara AS dengan 11 negara Asia Pasifik itu, yang dijalankan secara sulit selama berbulan-bulan lamanya, akan mengawal 40 peratus daripada ekonomi dunia.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In