PERKASA mahu teks TPPA lalu NGO bumiputera dulu
PERKASA mendesak NGO bumiputera diberi peluang cukup untuk memperhalusi teks lengkap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum dibawa ke parlimen.
“NGO bumiputera perlu diberikan masa, peluang dan ruang yang secukupnya untuk menghalusi serta memperincikan teks TPPA yang rasmi ini, sebelum teks ini dibentangkan untuk kelulusan Parlimen Malaysia,” kata Pengerusi Biro Ekonomi PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad.
Ruhanie antaranya membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan ekonomi bumiputera di Malaysia.
Beliau bagaimanapun berkata perbincangan yang dijangka dibuat meluas itu dapat melibatkan pelbagai NGO.
Dalam kenyataannya hari ini, Ruhanie membangkitkan dakwaan wujud elemen politik dan geopolitik terselindung di sebalik perjanjian itu.
Beliau antaranya membangkitkan kepentingan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menamatkan segera rundingan itu menjelang tamat tempoh kepimpinannya tidak lama lagi.
Begitu juga dengan Perdana Menteri Kanada Stephen Harper yang didakwa mahu menggunakan kejayaan dalam TPPA sebagai bahan kempen dalam pilihan raya umum negaranya.
Dari perspektif geopolitik pula, Ruhanie mendakwa Obama berhasrat menjadikan kejayaan TPPA sebagai manifestasi kepada “the US Pivot” atau dasar AS yang menumpukan kepada rantau Asia-Pasifik.
“Ini kerana Presiden Obama mahu menunjukkan bahawa “the US Pivot” di Asia Pasifik bukan sahaja dicerminkan menerusi kegagahan angkatan tentera AS, bahkan juga menerusi usaha AS membentuk pelbagai institusi Trans-Pacifik yang menjana kemakmuran dan keamanan,” katanya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.