Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak untuk menerima 3,000 orang pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu menangani krisis pelarian warga itu.

Perkara ini diumumkan dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1 Oktober 2015.

Saya juga mengalu-alukan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Malaysia Zahid Hamidi bahawa orang-orang pelarian Syria ini akan diberikan kad pengenalan khas.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan berusaha untuk menyediakan mereka akses kepada pendidikan dan pekerjaan sementara semasa mereka berada di Malaysia.

Seseorang yang tidak mengenai Malaysia mungkin akan menyanjung negara ini atas pengumuman itu. Pengumuman Najib dan Ahmad Zahid seolah-olah menunjukkan Malaysia lebih baik berbanding negara Eropah yang menutup sempadan mereka kepada pelarian.

Walau bagaimanapun, golongan yang sudah biasa dengan rekod hak asasi manusia Malaysia dan pendiriannya terhadap isu pelarian ini mungin terkejut dengan Najib dan timbalannya itu.

Pelarian di Malaysia

Isu pelarian bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Menurut UNHCR, pada akhir bulan Ogos 2015, terdapat seramai 153,880 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan badan itu di negara ini. Seramai 143,050 orang daripada jumlah itu terdiri daripada pelarian Myanmar.

Walau bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, status pelarian adalah tidak diiktiraf dan adalah dianggap sama dengan pendatang haram. Dalam erti kata lain, tidak wujud “pelarian” di Malaysia.

Ini kerana, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak berhasrat untuk menandatanganinya

Ini juga mungkin satu sebab Datuk Seri Najib Razak merujuk orang-orang ini sebagai “migran” dan bukannya “pelarian” dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB.

Dalam ucapan itu, beliau menyatakan bahawa Malaysia sejak beberapa tahun ini telah mengambil ramai indiviud yang melarikan diri dari peperangan, kebuluran dan penganiayaan.

Menurutnya, kini Malaysia mempunyai ratusan ribu migran. Hakikatnya, ramai daripada individu ini telah diiktiraf dan didaftarkan oleh UNHCR sebagai pelarian.

Oleh kerana status pelarian adalah tidak diiktiraf di Malaysia, pelarian ini dianggap sama sebagai pendatang haram – mereka sentiasa menghadapi risiko ditangkap dan ditahan.

Mereka sering menjadi mangsa kepada eksploitasi, gangguan, penganiayaan dan penyeksaan. Mereka tidak mempunyai hak untuk bekerja secara sah di Malaysia dan tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Layanan buruk terhadap pelarian oleh Malaysia telah didedahkan oleh Al Jazeera tahun lepas dalam sebuah dokumentari yang bertajuk 'Malaysia’s unwanted'.

Dalam dokumentari itu, turut didedahkan bahawa pelarian kanak-kanak ditahan di pusat tahanan imigresen yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak. Konvensyen tersebut ditandatangani oleh Malaysia.

Cakap lain, buat lain

Ucapan yang penuh dengan emosi dan belas kasihan Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung PBB itu dianggap memeranjatkan.

Beliau mengumumkan, Malaysia akan menerima 3,000 pelarian Syria dan menggesa semua negara-negara lain untuk melakukan perkara yang sama atas dasar kemanusiaan.

Kita masih ingat bagaimana Malaysia telah terlibat dalam krisis “ping-pong” dengan Thailand dan Indonesia tidak lama dulu, apabila beribu-ribu pelarian dan pendatang terkandas dan mati di Laut Andaman.

Selepas menerima tekanan antarabangsa, barulah Malaysia bersetuju untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada beribu-ribu pelarian dan migran tersebut.

Persetujuan itu dibuat dengan syarat, komuniti antarabangsa akan mengambil tanggungjawab untuk menghantar pulang pendatang ini ke negara asal atau penempatan semula di negara ketiga dalam tempoh satu tahun.

Pada April tahun ini, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan membuka pintu kepada pelarian dan pencari suaka walaupun atas dasar kemanusiaan kerana mereka telah menjadi ancaman keselamatan kepada Malaysia.

Pada bulan Ogos, beliau juga dilaporkan mendesak UNHCR untuk berhenti mengeluarkan kad pelarian sesuka hati tanpa persetujuan kerajaan Malaysia.

Oleh itu, ia adalah amat sukar untuk difahami mengapa terdapat perubahan sikap dan pendirian yang menyeluruh secara tiba-tiba oleh kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila beliau berdiri di atas pentas dunia.

Layanan berbeza

Kini, Malaysia sedia untuk membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun yang akan datang dan juga akan memberi mereka akses kepada pendidikan dan pekerjaan sementara sehingga mereka dapat kembali ke Syria.

Adakah Malaysia juga bersedia untuk membuka pintu dan memberi layanan yang sama rata kepada semua pelarian lain yang sudah mengetuk pintu negara kita sejak bertahun-tahun lamanya?

Ramai daripada golongan ini sudah meninggal dunia, terutamanya golongan pendatang dari Myanmar dan khususnya Rohingya – golongan minoriti paling tertindas di dunia.

Mengapa kita sanggup membuka pintu kepada pelarian Syria yang jauh dari kita dan bukannya pelarian dari negara jiran kita yang sudahpun berada di tanah kita?

Mengapa perdana menteri memberi layanan yang berbeza kepada sesetengah pelarian sedangkan beliau sendiri menyeru kita semua untuk “melangkaui batas bangsa dan anutan” dan “menghormati nilai kemanusiaan kita bersama” semasa ucapannya di Perhimpunan Agung PBB?

Iktiraf pelarian

Sekiranya perdana menteri dan kerajaan serius dan komited dalam membantu dan menyelesaikan krisis pelarian, Malaysia perlu menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, mengiktiraf semua pelarian dan memberikan bantuan dan perlindungan yang diperlukan.

Sangat munafik jika perdana menteri berdakwah dan menunjukkan prinsip kemanusiaan di peringkat antarabangsa tetapi mengamalkan cara yang berbeza sekali di negara sendiri dan terus menganiaya golongan yang telah dianiaya.

Selain itu, jika Malaysia memerlukan tenaga kerja di mana kerajaan merancang untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dalam tempoh tiga tahun yang akan datang, tidak ada sebabnya mengapa kerajaan enggan untuk mengiktiraf dan membenarkan 150,000 pelarian yang telah berdaftar di Malaysia untuk bekerja.

Dengan pengiktirafan itu, pelarian yang telahpun berada di Malaysia akan dapat bekerja secara sah. Tentunya langkah ini akan membantu membendung gejala sosial dan keselamatan yang dibimbangkan oleh kerajaan Malaysia.

Inilah masa paling paling baik untuk Malaysia selaku pengerusi ASEAN dan ahli Majlis Keselamatan PBB untuk memimpin melalui teladan dalam membantu pelarian dan menegakkan hak asasi manusia.

Malaysia perlu memainkan peranan yang aktif dalam menyelesaikan krisis pelarian terutamanya di Asia Tenggara. Semua pelarian patut diiktiraf dan dilindungi secara saksama.

Semua negara dan masyarakat antarabangsa perlu bersatu untuk menyelesaikan krisis pelarian. Kita semua haruslah ingat satu perkara – pelarian juga adalah seorang manusia seperti kita.


TAN ZONG YAN seorang pembaca Malaysiakini

Lihat Komen
ADS