Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rangka kanak-kanak ditemui di sungai berhampiran Pos Tohoi
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 7:40 AM
Dikemaskini: Oct 9, 2015 1:45 AM

Sebahagian rangka seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti jantina, ditemui di Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata rangka berkenaan iaitu tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk, ditemui pada jam 3.50 petang.

Beliau berkata rangka itu ditemui kira-kira 800 meter dari mayat Sasa Sobrie, 8, salah seorang daripada tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak Ogos, yang ditemui petang semalam.

"Kita belum mengetahui jantina rangka berkenaan sama ada lelaki ataupun perempuan kerana kita hanya temui sebahagian daripada tulang-temulangnya," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang (HGM) di Gua Musang malam tadi.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah.

Saiful Bahri berkata rangka berkenaan ditemui sepasukan 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq yang ditugaskan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh murid SK Pos Tohoi yang hilang sejak Ogos lepas.

"Pasukan itu menemui rangka berkenaan yang tersadai di tebing sungai dan kita percaya ia ada kaitan dengan kehilangan tujuh kanak-kanak tersebut," katanya.

Rangka berkenaan tiba di bilik mayat hospital itu kira-kira jam 8.50 malam, dan dibungkus di dalam sebuah kotak sebelum diserahkan kepada pihak patologi untuk ujian DNA dan pengecaman jantina.

Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata pihak patologi juga telah mengambil sampel darah anggota keluarga tujuh murid berkenaan pada tengah hari tadi, bagi memudahkan proses ujian DNA dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, katanya pasukan SAR mengalami kesukaran menjalankan operasi di kawasan sungai berkenaan kerana air yang cetek serta mempunyai banyak batu.

Sementara itu, Ab Aziz berkata pihaknya akan menambah empat aset baru iaitu kayak bagi memudahkan operasi dilaksanakan.

"Kayak mudah dikendalikan di kawasan air cetek dan ia akan membantu pasukan SAR melaksanakan operasi mereka. Kita akan minta bantuan aset berkenaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Perak," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan menghantar 10 kaunselor bagi membantu meredakan emosi ibu bapa kanak-kanak tersebut serta memberi kaunseling kepada murid-murid sekolah berkenaan pada Sabtu ini.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - kesemuanya berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

- Bernama

Lihat Komen
ADS