Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Kebanyakan pelajar Malaysia mendiami dua kawasan sahaja di Damsyik. Satu di bukit dan satu lagi di lembah. Itu istilah popular untuk menggambarkan kawasan berkenaan.

Bandar Damsyik terletak di kawasan lembah dan dikelilingi oleh bukit yang dikenali Jabal Qasiyun yang memanjang mengelilingi sebahagian Damsyik.

Penduduknya mendiami kedua-dua kawasan tersebut. Pada sebelah malam, apabila kita berada di bandar, suasana sangat cantik apabila kita memandang ke bukit. Deretan rumah-rumah di pinggir bukit memancarkan kilauan cahaya yang sangat unik.

Jika kita tinggal di bukit pula, kita akan dapat melihat hampir 90 peratus kawasan bandar. Kawasan kediaman kami dikenali sebagai daerah Ruknuddin.

Di sini nama-nama perkampungan berasaskan nama masjid di kawasan kediaman kita. Contohnya saya mendiami kawasan Kariah Jame’ Sukkar kerana bersebelahan rumah saya adanya masjid bernama Jame’ Sukkar bersempena nama tokoh ulama pakar ilmu Al Quran, Sheikh Muhammad Sukkar.

Berjiran dengan kariah kami ialah Kariah Abu Nur, Kariah Hanabilah dan Kariah Butti.

Di Kariah Butti ini ada seorang ulama terkenal dunia iaitu Sheikh Dr Muhammad Said Ramadhan Al Butti.

Peranakan Turki berbangsa Kurdi ini mewarisi masjid dibina bapanya seorang ulama sufi bernama Sheikh Mula Ramadhan Butti dan beliau bernama Mohammad Said Ramadhan Al Butti.

Komuniti cendekiawan Islam

Anak beliau juga antara cendekiawan Islam yang masyhur dan kerap dijemput hampir setiap tahun ke universiti-universiti di Malaysia khususnya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Namanya Dr Taufiq Ramadhan Al Butti. Butti itu dinisbahkan kepada keturunan mereka. Sememangnya kebanyakan ulama Syria berketurunan Kurdi dan mereka sudah bercampur dengan Arab serta sukar dibezakan di antara Arab asli dan Kurdi.

Namun ada beza pada nama mereka sedikit sebanyak seperti nama orang Jepun. Selain Butti, antara yang terkenal ialah Kiftaroh. Ulamanya antara yang terkenal ialah Sheikh Dr Ahmad Kiftaroh, bekas mufti Syria dan pengasas Universiti Abu Nur.

Begitu juga dengan Sheikh Dr Rejab Deeb dan Sheikh Ratib Nablusi. Nama mereka ada kepelikan berbanding Arab biasa dan wajah mereka juga sedikit berbeza dengan orang Arab.

Keluarga Sheikh Butti mendiami kawasan Kariah Butti ini. Namun beliau sendiri tidak tinggal di situ kerana menjadi Khatib Negara. Beliau tinggal di kawasan lembah berhampiran pusat bandar. Namun setiap hari beliau akan mengimami solat subuh di Jame’ Butti.

Suatu yang aneh ialah daripada sudut ketepatan masanya. Kebiasaan di Syria, selepas azan Subuh, kita akan menanti sekitar 30 minit sebelum solat ditunaikan. Biasanya selepas solat sunat, para jemaah akan membaca Al Quran.

Jam waktu di dinding akan memaparkan ‘countdown’ waktunya selepas azan sehinggalah cukup 30 minit. Apabila berbaki satu minit, semua jemaah akan meletakkan Al Quran dan duduk memandang ke pintu masjid. Selepas dua minit, satu minit, kemudian saat, tiga saat, dua saat dan satu saat. Pintu akan dibuka dan Sheikh Butti akan muncul pada waktu itu.

Terus bilal melaungkan iqamah dan solat dimulakan. Peliknya kehadiran beliau sebegitu bukan hanya pada hari tersebut, tetapi setiap hari beliau akan tiba pada saat terakhir. Sukar difikirkan bagaimana beliau boleh tepat waktu sebegitu.

Bukan sekadar tepat waktu atau minit, tetapi tepat saat. Mungkin saya silap atau berlebih-lebihan.

'Jangan dicuri masa aku'

Pada tahun 2010, ayah saya datang ke majlis pernikahan kakak saya di Damsyik. Setiap hari dia akan menunaikan solat subuh di Jame’ Butti.

Pulang ke Malaysia, perkara pertama yang dia ceritakan bagaimana seorang ulama terkenal bernama Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al Butti boleh tepat saat setiap kali hadir ke masjid solat subuh.

Aneh, tetapi itulah hakikatnya. Ketika itu usianya sudahpun 76 tahun. Cerita tentang disiplin waktu ini cukup banyak.

Suatu hari di minggu-minggu awal kami sampai ke Syria, kami mengadakan pertemuan dengan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili. Beliau ini juga ulama bertaraf dunia.

Jika Sheikh Butti terkenal dengan Fiqh Sirahnya yang menjadi rujukan jutaan manusia dan diterjemahkan dalam berpuluh bahasa, Sheikh Wahbah terkenal dengan Tafsir Al Munir dan kitab Fiqhul Islam Wa Adillatuhu (kitab fekah empat mazhab).

Sheikh Wahbah sangat mesra dengan pelajar. Setiap malam Selasa beliau akan mengajar di Jame’ Quwaiti tidak jauh dari rumahnya. Selepas solat Maghrib kami mengadakan pertemuan dengan beliau.

Pelbagai soalan dan perkongsian diberikan oleh beliau. Cukup 45 minit pertemuan, beliau hendak menamatkan perbualan kami.

Oleh kerana 10 orang muslimat yang sepatutnya bersama kami dalam pertemuan tersebut belum sampai, kami memohon sedikit masa agar diberi kesempatan kepada mereka untuk sampai.

Apa jawab Sheikh Wahbah? Sambil tersenyum beliau berkata. “Jangan dicuri masa aku.”

Fuh! Pedih. Ditamatkan terus pertemuan tersebut. Inilah disiplin waktu ulama-ulama ini. Sebab itu tidak pelik mereka boleh menghasilkan karangan-karangan ilmiah yang berkualiti dan bersaiz tebal setiap tahun.

Disiplin diri

Jika kita di universiti hanya berlumba jumlah perkataan atau jumlah halaman kerja khusus, disertasi atau tesis kita setiap semester. Tetapi para ulama ini menghasilkan tulisan yang tebalnya berinci-inci. Boleh jadi berkaki kaki.

Manakan tidak, kitab-kitab tafsir yang mereka hasilkan kadangkala sehingga 18 jilid dan lebih daripada itu. Ukuran ketebalannya boleh jadi sekaki setengah. Pelik, bagaimana mereka boleh berjaya menghasilkan karangan-karangan setebal itu dan kualitinya sangat baik.

Jika tidak, manakan satu dunia akan merujuk kitab-kitab mereka. Bahkan segera diterjemahkan dalam bahasa-bahasa di negara masing-masing.

Di Malaysia, antara karya terjemahan ulama-ulama Syria ialah kitab Fiqh Sirah Sheikh Mohd Said Ramadhan Al Butti yang berjumlah empat jilid jika tidak silap saya.

Kemudian, Tafsir Al Munir karangan Sheikh Wahbah Az Zuhaili yang diterjemahkan oleh banyak pihak termasuk Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Kemudian kitab Fiqh Manhaji yang dikarang oleh Sheikh Mustafa Bugha, Sheikh Mustafa Khin dan lain-lain. Kesemua karangan ini dikarang oleh ulama Syria dan menjadi rujukan dunia.

Tidak cukup sekadar itu, hampir setiap tahun mereka mengeluarkan buku-baru mereka. Sheikh Wahbah

Zuhaili misalnya hampir setiap tahun mengeluarkan kitab Fiqh semasa yang mana beliau mengulas daripada sudut hukum berkait dengan isu-isu atau peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tahun tersebut.

Adakala ketebalannya melebihi 700 muka surat setiap tulisan itu. Selain daripada ilham yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang kuat ibadahnya, dan keilmuan yang luas yang ada pada mereka, faktor penting kejayaan mereka ialah ‘disiplin masa’.

Inilah tauladan terbaik untuk kita. Sebenarnya, disiplin waktu yang diamalkan Sheikh Butti, Sheikh Wahbah dan lain-lain ulama di Syria ini memberi gambaran yang baik kepada ajaran Islam. Inilah yang diajar oleh agama kepada kita.

Orang Jepun yang tidak beragama Islam sangat disiplin waktunya. Kata kawan-kawan yang pernah ke sana, mereka tidaklah awal waktu, tetapi tepat waktu.

Awal daripada dijanjikan pun tidak boleh. Lewat lagilah tidak boleh. Sebab itu negara mereka cukup berjaya walaupun pada tahun 1945 mereka dikalahkan Amerika melalui pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Mereka bangkit dan menjadi sebagai sebahagian kuasa ekonomi di Asia. Sebut sahaja produk Honda, Toyota, Suzuki dan pelbagai produk lain, kesemuanya datang dari Jepun dan digunakan di seluruh dunia termasuk negara-negara maju.

Inilah perkara yang perlu kita ubah untuk menjadi manusia atau bangsa yang berjaya. Amat memalukan apabila ada istilah janji Melayu bagi menggambarkan ketidaktepatan waktu.

Kita tiba selalunya lewat daripada waktu yang dijanjikan dan ia sudah menjadi kebiasaan, maka tidak pelik jika kita kurang berjaya. Ini muhasabah untuk diriku terutamanya.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Nasaie Ismail .

Lihat Komen
ADS