Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seolah-olah mereka setapak di hadapan penguatkuasa.

Begitulah sukarnya membendung mat rempit atau pelumba motosikal haram yang licik yang boleh menghidu masa rondaan dan pemantauan penguatkuasa.

Perkara itu didedahkan Pengurus Kanan Operasi Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) Mazlan Muridan, yang mengimbau kejadian 22 September lalu, yang berakhir dengan kecelakaan dan kecederaan.

Mazlan berkata, seperti sedia maklum, kebiasaannya mat rempit akan berlumba di beberapa lebuh raya termasuk KESAS pada setiap malam minggu.

Pada hari kejadian, polis dengan kerjasama KESAS turun memantau lebuh raya itu pada malam Sabtu dan Ahad namun tiada apa-apa yang berlaku.

Sebaliknya mereka memilih berlumba pada hari Isnin jam 5 pagi – waktu yang tidak dijangkakan siapa pun.

“Polis sudah buat pemantauan pada dua hari tersebut namun tidak ada kelibat mat rempit.

“Pada pagi Isnin jam 4 pagi, pihak KESAS juga buat rondaan di persimpangan yang kebiasaannya menjadi tempat mat rempit berkumpul namun jalan itu sepi tanpa kelibat mereka.

“Tetapi siapa sangka, satu jam selepas rondaan, pada jam 5 pagi kemalangan itu berlaku. Kalau orang biasa hari Isnin sudah fikir mahu pergi kerja,” katanya kepada Malaysiakini .

Berseret berapi

Video perlumbaan dan kemalangan itu tersebar luas di laman sosial.

Ia antaranya memaparkan ramai orang berkumpul di tepi jalan menyaksikan perlumbaan itu – gambaran seperti dalam sebuah filem berkaitan perlumbaan di layar perak.

Menurut polis, dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi itu, sebuah motosikal yang dipercayai sedang berlumba melanggar belakang sebuah Proton Exora.

Berdasarkan video, beberapa motosikal turut terbalik dan berseret di jalan raya sehingga memercikkan api akibat geseran.

Mengulas itu kelicikan mat rempit, Mazlan ( gambar ) juga berkata ia kini semakin sukar diduga kerana mereka bergerak pantas dan boleh menyusun kelompok yang besar dalam masa yang singkat.

Kumpulan mat rempit ini kebiasaannya dianggotai oleh remaja bawah umur dan ke atas malah ada antara mereka yang tidak mempunyai lesen memandu, katanya.

“Sebelum ini mereka menggunakan blog untuk berkongsi maklumat berkenaan acara lumba haram yang akan dilakukan namun blog itu sudah dipadam,” katanya.

Lihat Komen
ADS