Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ulas titah raja, Jamal kata pembangkang yang rasis
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 1:14 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Mengulas titah raja-raja Melayu, pemimpin akar umbi kontroversi Umno Datuk Jamal Mohd Yunos berkata parti Melayu itu tidak pernah dimainkan partinya dan BN.

Beliau sebaliknya mendakwa isu perkauman sebenarnya dimainkan pembangkang yang kemudian mengundang reaksi musuh politiknya.

“Pihak Pakatan Rakyat, pembangkang DAP telah memainkan isu perkauman, yang menyebabkan pihak Umno-BN akan bertindak balas.

“Sesetengah pihak nak meraikan kepentingan politik, nak jadi popular, dengan mudah dia mainkan isu kaum dan agama,” dakwa Jamal.

Menyentuh himpunan baju merah 16 September, yang dicemari insiden keganasan dan dikritik susulan mesej dianggap perkauman, Jamal menuding lagi kepada pembangkang.

“Mereka (pembangkang) sudah berhimpun berpuluh kali, kita baru sekali. Kalau tak ada himpunan BERSIH, (himpunan) 16 September pun tak ada.

Himpunan 16 September dianjurkan sebagai reaksi kepada BERSIH 4 yang dituduh pemimpin kerajaan dan media arus perdana didominasi Cina dan DAP.

Dalam himpunan 16 September, terdapat poster-poster yang mahu menutup sekolah Cina dipapar manakala di Jalan Petaling, pihak polis dimaki dengan gelaran “Barua Cina” kerana tidak membenarkan peserta masuk ke kawasan perniagaan bukan Melayu itu.

Terdapat juga ucapan kesat seorang wanita yang memaki “Cina babi” yang kemudian dimuat naik dan dikongsi meluas di Internet.

Raja-raja Melayu pada 6 Oktober bertitah mahukan pemimpin mengutamakan faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Baginda sekalian juga memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan mengingatkan pemimpin parti politik dan NGO tidak mensensasikan isu itu untuk meraih sokongan.

Baginda sekalian juga mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan negara.

Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.

Lihat Komen
ADS