BERITA

Penghargaan pada pegawai MBPP dalam kejadian kunci tayar kereta

Susan Loone

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Okt 2015, 10:44 pagi

Kerajaan Pulau Pinang hari ini memberi penghargaan kepada tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang baru-baru ini mendapat layaran kasar kerana menjalankan tugas mereka mengunci tayar kereta yang diletak di tempat yang salah di George Town.

Ketua Menteri Lim Guan Eng menyerahkan kepada mereka masing-masing RM200 di atas "keberanian dan sikap profesional" mereka ketika berdepan dengan insiden itu yang berlaku di Jalan Campbell pada 7 Oktober.

Tiga pegawai berkenaan ialah Zarina Othman, Siti Asa Abu Bakar, dan Sabrina Mohd Sabri.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Lim berkata, dalam menghadapi situasi mencabar itu, mereka tetap tenang, profesional dan berani, serta mempertahankan etika kerja mereka dalam menguatkuasakan undang-undang negara.

Mereka telah mengunci tayar kereta Myvi Perodua yang diletakkan di kaki lima di sepanjang jalan yang sibuk.

Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, ahli MBPP Ong Ah Teong menjelaskan bahawa pemilik kereta dan rakannya marah apabila diberitahu mereka perlu membayar RM50 untuk membuka kunci tersebut.

Kata Ong, pemilik dan rakannya bertengkar dengan pegawai berkenaan dan cuba membuka sendiri kunci tersebut tetapi tidak berjaya.

Katanya, walaupun Zarina cuba menjelaskan perkara itu kepada mereka dengan tenang, kedua-dua lelaki bertindak agak kasar dan mencampakkan wang kertas RM50 ke atas tanah, dan bukan memberi wang itu kepada pegawai itu.

Malah, katanya, pemilik dan rakannya mengugut pegawai berkenaan, dan memanggil mereka anjing.

Tindakan mengunci tayar kereta sedang dijalankan secara meluas di Pulau Pinang kerana pemiliknya melanggar undang-undang dengan meletakkan kereta di tempat yang salah atau di luar tempat ruang letak kereta yang ada, yang kadang-kadang menyebabkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar George Town.

Bagaimanapun, pemilik kenderaan terbabit berhujah bahawa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan mengunci tayar kereta kerana ia tidak menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi. - Mkini English

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.