Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Kementerian Pendidikan harus dipertanggungjawabkan kerana tidak menjamin prasarana yang kondusif dan selamat bagi kanak-kanak di SK Tohoi, Gua Musang.

Setakat ini, dua orang kanak-kanak Orang Asli daripada tujuh yang hilang pada 23 Ogos lalu telahpun dijumpai selamat dan dalam keadaan yang memilukan – amat kurus dan sangat lemah.

Setiap rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih dan penghargaan tertinggi kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di atas segala usaha mereka.

Bagaimanapun, penemuan kanak-kanak ini setelah lebih sebulan amat mengejutkan dan mengelirukan dan menimbulkan seribu satu persoalan.

Pokok persoalannya adalah bagaimana kanak-kanak berusia antara 7 hingga 11 tahun boleh menyelinap keluar dari perkarangan SK Tohoi tanpa pengetahuan pihak sekolah?

Apakah keadaan sebenar di sekolah tersebut sehingga kanak-kanak ini terpaksa berlari keluar untuk mandi di sungai yang berdekatan?

Tiada seorangpun guru atau warden wanita ditempatkan di SK Tohoi. Apakah ini salah satu faktor yang menyebabkan pelajar berkenaan melarikan diri dari sekolah?

Adakah pembantu pengurus murid atau warden di sekolah asrama Orang Asli ini dilengkapi dengan sifat kesabaran, pengalaman yang mencukupi untuk menangani kanak-kanak tersebut?

Kakitangan tersebut harus berkemampuan untuk memberikan nasihat dan pengetahuan dalam psikologi kanak-kanak untuk memberikan kaunseling.

Mengikut statistik Kementerian Pendidikan, nisbah pelajar kepada warden asrama adalah 40:1. Adakah ini berlandaskan garis panduan yang terbaik? Mungkinkah ini salah satu sebab yang mendorong kesemua kanak-kanak ini melarikan diri?

Selepas kejadian ini berlaku, barulah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk mengkaji aspek keselamatan di asrama dan sekolah-sekolah khas bagi pelajar-pelajar Orang Asli

Laporan akhbar bertarikh 6 Oktober lalu menyebut, Timbalan Menteri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kerajaan juga akan mengkaji sensitiviti masyarakat Orang Asli dalam isu ini.

Pengumuman itu amat memalukan kerana kerajaan baru berminat untuk mengkaji aspek keselamatan dan sensitiviti tersebut selepas membina 94 buah sekolah asrama Orang Asli.

Sepatutnya, kementerian mengutamakan kualiti pendidikan yang terbaik, prasarana yang kondusif serta keselamatan pelajar memandangkan ia merupakan pelaburan terbaik bagi masa depan sesebuah negara.

Malangnya, di Malaysia setelah nasi menjadi bubur, masa itulah semua pihak kerajaan akan tergopoh-gapah menunjukkan bahawa mereka sedang berusaha dengan gigih dalam usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak yang hilang di Gua Musang lebih sebulan yang lalu.

Usaha untuk mencari dan menyelamat kanak-kanak Orang Asli wajib dipergiatkan lagi dan Kementerian Pendidikan harus dipertanggungjawabkan dalam hal ini kerana tidak menjamin prasarana yang kondusif dan selamat bagi kanak-kanak di SK Tohoi, Gua Musang.


KASTHURI PATTO MP Batu Kawan.

Lihat Komen
ADS