Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Dengar rayuan rakyat, undurlah Najib...
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 4:12 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu merayu dan menyeru Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan perdana menteri selepas pelbagai pihak tidak puas hati gaya pentadbiran dan cara pengurusan ekonomi negara.

Mohamad berkata semua pihak termasuk pemimpin kerajaan dan pembangkang, bekas pemimpin serta pegawai kanan kerajaan telah hilang keyakinan terhadap beliau khususnya berkaitan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi beliau.

Bekas timbalan presiden PAS itu juga berkata, tindakan Najib melepaskan jawatan dapat memberikan kebaikan kepada keluarganya, kerajaan, rakyat terbanyak sekaligus menyelamatkan negara.

"Saya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu dengan sesungguhnya agar Datuk Seri Najib mendengar rayuan ini, sama ada daripada parti pemerintah, pembangkang, NGO serta rakyat seluruhnya supaya beliau meletak jawatan segera.

"Ia bukan berkait soal peribadi semata-mata kerana Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Sehingga kini sebarang tuduhan tidak dijawab, ditambah skandal bertimpa-timpa menyebabkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kerajaan Malaysia tergugat.

"Kejatuhan nilai mata wang Malaysia pula begitu ketara sekali," katanya dalam satu kenyataan dari Frankfurt, German hari ini.

Mohamad turut membidas tindakan kerajaan yang menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menurutnya menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk memadamkan kritikan rakyat terhadapnya.

"Perbuatan ini tidak lain, hanya meruntuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib," katanya.

Mohamad juga Mengulas kemunculan bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Sanudi Junid dan Tun Dr Ling Liong Sik dalam satu sidang media semalam.

"(Ia) mengejutkan banyak pihak apabila muncul bersama pada satu sidang media semalam," kata Mohamad sama menambah mereka rasa tidak puas hati berkaitan isu 1MDB dan sumbangan politik itu.

Lihat Komen
ADS