PSM lancar kempen bebas Khalid Ismath
Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan melancarkan kempen bagi memastikan aktivis Khalid Ismath dibebaskan dari tahanan pihak polis.
Setiausaha Agungnya Sivarajan Arumugan berkata, pihaknya telah memulakan kempen itu dengan acara nyalaan lilin di luar balai polis di Johor.
"Kita akan lancarkan kempen. Kita mesti gesa mereka. Dua hari lalu kita dah buat kempen nyalaan lilin dan kita juga dah buat 50 laporan polis di seluruh negara untuk minta Khalid dibebaskan.
"Dan kita akan meneruskan perkara ini," katanya dalam sidang media di pejabat PSM di Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam sidang media itu Pengerusi Nasional PSM Dr Mohd Nasir Hashim.
Selain itu, Nasir pula mempertikaikan penahanan Khalid yang menurutnya tidak mempunyai kaitan dengan bekas peguam Sultan Johor Kamal Hisham Ja'afar.
Katanya, apa yang dilakukan Khalid sebelum ini hanyalah menunjukkan solidariti terhadap seseorang yang ditahan.
Justeru, beliau beranggapan, tindakan yang dikenakan terhadap Khalid tidak wajar dan dilakukan sewenang-wenangnya.
Malah, beliau juga memberitahu bahawa sekiranya segala desakan tidak diendahkan, mereka akan membuat demonstrasi sebagai jalan terakhir.
"Kita akan buat laporan polis dulu. Kita juga akan lakukan pelbagai proses dan mungkin akan ke jalanan sebagai langkah terakhir tetapi ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar," katanya.
Khalid ditahan dan dikenakan 11 tuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tiga tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung tulisan di Internet yang didakwa menghina kerabat diraja Johor.
Khalid juga tidak dibenarkan diikat jamin kerana bimbang beliau melarikan diri.
Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerbitkan tiga komen berasingan yang mempunyai perkataan menghasut dalam Facebook berkaitan solidariti untuk peguam Kamal Hisham Ja'afar.
Bagi 11 pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertuduh didakwa membuat komen yang jelek di laman sosial sama.
Hakim kemudiannya menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes.
Kamal Hisham ( gambar ) ditahan pada awal September susulan kes penipuan dan didakwa pecah amanah. Dia sebelum itu menggesa sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turun takhta jika mahu terlibat dalam politik.
Khalid pada 6 Oktober menulis di Twitter:
“Jangan kita lupa, ada 2 orang yang sedang ditahan dipenjara sebelum dibuktikan bersalah. 1) Kamal Hisham 2) Khairuddin – mereka berdua melawan berhala.”
Khalid turut merujuk kepada bekas ketua Umno Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan yang ditahan selepas mengadu kes 1MDB di peringkat antarabangsa.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.