Selangkah sebelum jadi negara gagal

Al-Abror Mohd Yusuf        

Ketika Pak Samad (atau nama rasminya, Datuk A Samad Said) menyertai DAP pada 13 Jun lalu, seluruh negara tahu tentang kemasukannya. DAP ada sebab untuk berbangga dan ada sebab juga untuk mengadakan sidang media bagi menguar-uarkan kemasukan sasterawan negara itu ke 'parti cauvinis Cina'.

Maka berkata itu inilah hampir semua orang, termasuk golongan penulis mapan, separa mapan atau yang baru berjinak-jinak dengan makna mapan.

Tidak ketinggalan, orang bukan penulis – dan tentunya ahli politik sendiri – menjadi pengulas yang serba tahu mengenai Pak Samad. Komen atau ulasan menghina usah dikiralah. Berdasarkan kemarahan dan kebencian pengkritik, langkah Pak Samad menjadi ahli DAP itu seolah-olah beliau sudah terkeluar daripada Islam.

Bagi pengagum pula, Pak Samad adalah si pemberani yang mendepangkan dadanya untuk menerima muntahan peluru kemarahan ramai.

Di antara pengkritik dan pengagum itu ada juga golongan pertengahan yang mampu melihat – atau sekurang-kurang cuba melihat – secara rasional alasan di sebalik keputusan Pak Samad.

Dan secara diam-diam dan terhad, ada pula penulis lain mengikuti jejak Pak Samad dengan menganggotai 'parti cauvinis Cina' itu. Dia penulis Melayu yang sudah menempa nama.

Tidak seperti Pak Samad, penulis berkenaan memasuki DAP secara diam-diam dan “malu-malu”. Sesekali dia nampaknya mahu mengatakan kepada dunia di luar lingkungannya bahawa dia adalah ahli DAP.

Itulah, sama ada diuar-uarkan atau secara senyap-senyap, sesuatu tindakan itu boleh diambil mengikut pilihan masing-masing. Biasanya langkah itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan jangkaan kesan di kemudian hari. Apa yang penting, langkah itu diambil dengan matlamat sendiri.

Begitu juga halnya dengan politik dalam negara. Ketika ini ada satu pihak bersungguh-sungguh mahu Datuk Seri Najib Razak berundur daripada tugasnya sebagai perdana menteri.

Ditekan ke dinding

Tun Dr Mahathir Mohamad salah seorang tokoh yang menguar-uarkan hajatnya yang mahukan Najib meletak jawatan – atau disingkirkan oleh ahli partinya sendiri – dengan menggunakan hujah “demi kepentingan negara”.

Bersama Dr Mahathir adalah pula sejumlah tokoh lain. Datuk Khairudin Abu Hassan dan Matthias Chang adalah nama lain yang secara terbuka menyatakan keinginan masing-masing mahu perdana menteri negara ini digantikan.

Kemudian ada pula Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak akhir-akhir ini. Bermula dengan langkah yang ‘malu-malu’ dan berhemat, timbalan presiden Umno dan naib presiden Umno itu nampaknya mula semakin berani (walaupun sebenarnya belum cukup berani).

Tetapi kita boleh bertanya – sekadar itukah langkah yang diatur? Tidak keterlaluan untuk berkata tidak. Langkah yang senyap-senyap dan diam-diam juga tentu diatur.

Sebelum pihak berkuasa memulakan tindakan terhadap Khairudin dan Chang, seseorang yang rapat dengan sumber dalaman Umno memberitahu: “Tunggulah nanti Majlis Raja-Raja akan bersidang bulan Oktober ini”.

Kata-kata itu ditanggap secara skeptikal saja, sehinggalah tiba-tiba Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB pada 6 Oktober lalu.

Adakah setakat itu saja langkah mendesak Najib meletak jawatan? Tentulah tidak.

Menurut sumber itu lagi sudah ada semacam persefahaman antara kumpulan Dr Mahathir dengan tokoh tertentu pembangkang untuk bekerjasama memastikan Najib akan mengalah juga akhirnya.

Melalui langkah yang dibenarkan demokrasi, Najib akan ditekan ‘hingga ke dinding’ melalui kerjasama berkenaan sehingga menyebabkan – mengikut bacaan beliau – anak bekas perdana menteri itu tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengambil langkah seperti pernah diambil Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pembangkang sedia? Tidak

Jika itu benar-benar berlaku, bersediakah parti pembangkang di negara ini?

Sumber dalaman DAP mempunyai jawapan mudah ketika ditanyakan isu itu: “Tidak.”

Ia bukanlah sangat disebabkan kekalutan dalam Pakatan Harapan dan kekeliruan sikap PAS ketika ini. Ia lebih kepada realiti dalaman DAP sendiri.

Jika gerakan mengetepikan Najib sebagai perdana menteri berjalan seperti didakwa, ia sepatutnya berlaku dalam tempoh sebulan dua ini.

Masalah DAP ialah, tempoh sebulan dua ini jugalah mereka mengadakan pemilihan di peringkat negeri hingga ke cawangan. DAP sama sekali bukan parti pada malaikat atau bebas nafsu. Pemilihan itu bermakna wujudnya pertentangan kumpulan dalaman parti berkenaan.

Di zaman ini hampir tidak dapat diterima akal jika pertentangan merebut jawatan dalam parti tidak memberi sebarang luka, lebam atau calar. DAP juga tidak terkecuali.

Sekutu DAP dalam Pakatan Harapan ialah PKR dan Parti Amanah Nasional (AMANAH). Bagi setiap pemerhati politik, gelora dalam PKR bukan lagi rahsia. Ketika Azmin Ali masih dilihat bermelankolik dengan PAS, sebahagian yang lain menganggap adalah lebih wajar untuk mereka meneruskan hidup bersama AMANAH.

Pada masa sama AMANAH belum benar-benar teruji. Apa yang kelihatan setakat ini sekadar gimik dan propaganda yang kadang-kadang agak kelakar.

PAS? Oh, semalam baru saja Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipeluk Datuk Ibrahim Ali.

Dalam senyum lebar Ibrahim mendakap Abdul Hadi dengan disaksikan ramai orang, termasuk pimpinan atasan PAS yang sesetengahnya kelihatan senyum dalam cemas.

Gelora parti, kumpulan

Mereka kemudian terpaksa pula membuat penjelasan untuk merasionalkan pertemuan Abdul Hadi dengan Ibrahim selepas reaksi orang ramai rata-rata bersifat sinikal terhadap PAS yang kelihatan semakin ketara menjadi parti Melayu.

Andainya keadaan adalah sama – atau tiada perubahan signifikan – dan kepimpinan negara bertukar, apa kedudukan pembangkang?

Mengikut sifir ‘mudah’, mungkin akan ada kerajaan perpaduan yang menyatukan semua parti – atau hampir semua parti. Matlamat awalnya tentulah mencari kestabilan dan ketenteraman dalam negara. Kemungkinan besar PAS akan ada di dalamnya. Begitu juga DAP dan PKR.

Gelora dan perselisihan antara parti atau kumpulan akan cuba dipendamkan untuk sementara waktu. Pada ketika itu semua pihak bersetuju duduk semeja berbincang mengenai masa depan negara – sehinggalah tiba detik yang tidak dijangka apabila sebelum satu demi satu perselisihan muncul.

Ia bukan sekadar isu bagaimana Pak Samad masuk DAP yang dihebah-hebahkan atau seperti penulis Melayu yang menyertai parti itu secara diam-diam.

Ia adalah jauh lebih rumit dan berisiko.

Pada ketika itu kita menapak selangkah lagi untuk menghampiri status negara gagal ( failed state ).

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In