Pembaharuan parlimen diharap iring agenda 1MDB
PKR berharap usaha membuat pembaharuan dalam sistem parlimen negara ini akan menjadi salah satu agenda penting dalam persidangan akan datang pada 19 Oktober ini.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin berkata isu itu diharap mengiringi “agenda penting” lain, termasuk 1MDB dan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sim berkata, isu pembaharuan parlimen bukan perkara baru dan sejak 2011 lagi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Parlimen telah mengkaji penggubalan semula undang-undang berkaitan.
Ini, katanya, termasuk rang undang-undang perkhidmatan parlimen, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Semakan 1988).
Bagaimanapun, kata Sim lagi, walaupun telah lima kali bersidang dan laporan diserahkan pada 2012, tiada tindakan lanjut dibuat.
“Tetapi kini, keadaan politik telah berubah. Memandangkan bahawa sekarang speaker, perdana menteri, menteri dan juga ahli-ahli parlimen pembangkang semuanya menyokong penuh agenda pembaharuan parlimen, maka tibalah masanya, kerajaan melaksanakan janji-janji perubahan yang dijanjikan kepada speaker parlimen bahawa kerajaan akan mengangkat kewibawaan dan kebebasan institusi parlimen,” katanya.
Sim (
gambar
) juga membangkitkan perbincangan kabinet berkaitan isu itu pada April lalu yang menyaksikan timbalan perdana menteri dilantik untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang diluluskan.
Justeru, katanya, PKR mendesak kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said membentangkan undang-undang pembaharuan parlimen dalam sesi terdekat ini untuk diluluskan.
Lima pembaharuan yang dicadangkan sebelum ini ialah:
- Mansuhkan jawatan menteri yang menguruskan hal ehwal parlimen.
- Kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan gubal Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).
- Tubuhkan jawatankuasa tetap parlimen.
- Tingkatkan infrastruktur parlimen ke tahap seperti bangunan di Putrajaya atau Istana Kehakiman.
- Adakan sesi soal jawab perdana menteri.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.