Nik Aziz letak jawatan?

Arfaeza A Aziz        

Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidur Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat telah melepaskan kesemua jawatannya dalam parti itu, demikian menurut sumber-sumber parti tersebut.

Mereka mendakwa pemimpin berusia 73 tahun ini telah menghantar surat perletakan jawatannya itu sebelum beliau berangkat untuk mengerjakan Umrah di Mekah pada 17 November lalu.

Menurut sumber-sumber itu lagi, pihak parti akan membuat pengumuman rasmi mengenainya apabila Nik Aziz kembali ke tanahair dalam tempoh dua minggu lagi.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin PAS serta pegawai tinggi kerajaan negeri Kelantan menafikan perkara tersebut.

"Setahu saya, pihak parti tidak menerima sebarang surat perletakan jawatan Tuan Guru (Nik Aziz)," kata Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, mana-mana pegawai parti itu yang mahu melepaskan jawatan mereka, mesti mengemukakan surat perletakan jawatan kepadanya selaku setiausaha agung parti.

Manakala Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mohd Amar Abdullah pula mendakwa perkara tersebut tidak terdapat dalam agenda rasmi kerajaan negeri ketika ini.

"Tuan Guru tidak akan meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini. Beliau telah melahirkan hasratnya (berbuat demikian) sebelum pilihanraya lalu, tetapi kami berjaya memujukkan dan beliau bersetuju untuk terus memimpin kami. Sejak itu, perkara itu tidak timbul lagi," katanya.

Rombakan dalam kerajaan negeri

Ditanya mengapa ada pihak yang sengaja mahu menyebarkan khabar angin tersebut, Amar mendakwa ia mungkin dilakukan oleh Umno Kelantan yang mahu mewujudkan suasana tidak menentu di kalangan kepimpinan di negeri ini.

"Umno memang suka kalau Tuan Guru meletakkan jawatan kerana beliaulah yang menjadi halangan utama mereka. Tanpa beliau, mereka percaya adalah lebih mudah untuk menyerang kami," katanya.

Sementara itu, seorang ahli politik Kelantan, yang enggan namanya disebut, percaya perletakan jawatan Nik Aziz dalam parti itu,akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

"Sewaktu beliau (Nik Aziz) dirawat kali kedua selepas menjalani pembedahan jantung, para doktornya telah menasihatkan beliau supaya jangan bekerja terlalu kuat.

"Beliau diberitahu bahawa keadaan kesihatannya tidak mengizinkannya untuk menghadapi tekanan, dan kerana itulah beliau memikirkan untuk melepaskan jawatannya secepat mungkin," katanya.

Beliau juga meramalkan satu rombakan besar akan berlaku dalam pentadbiran negeri Kelantan dalam tempoh enam bulan ini.

Berikutan itu, katanya, Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob dijangka dipilih untuk menerajui kerajaan negeri Kelantan.

"Nampaknya Ahmad Yaakob akan mengambil alih jawatan nombor satu itu. Lagi pun, buat masa ini, beliau sudahpun menjalankan kebanyakan tugas-tugas dan tanggungajawab Menteri Besar," katanya.

Usaha pujuk Nik Aziz

Beliau juga mendedahkan usaha-usaha yang sedang dilakukan untuk memujuk Nik Aziz supaya terus memegang jawatan pesuruhjaya PAS Kelantan, kerana kehadirannya penting dalam memastikan PAS akan kekal berkuasa di negeri itu.

"Kami perlu memberi jaminan kepada rakyat Kelantan bahawa persaraan beliau tidak bermakna beliau tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam politik di negeri ini. Beliau tidak perlu melakukan semua kerja itu kerana ia boleh dilakukan oleh pegawai bawahannya.

"Apa yang penting ialah kita mesti menunjukkan bahawa beliau masih merupakan sebahagian daripada Kelantan, yang sememangnya sudah menjadi satu hakikat," tegasnya.

Mengenai jawatan Timbalan Menteri Besar sekiranya Ahmad menggantikan Nik Aziz, sumber-sumber parti itu berkata, tiga nama disebut-sebut untu mengisi jawatan tersebut, iaitu Mohd Amar, Husam Musa dan Takiyuddin Hassan.

Jika dilihat dari segi senioriti, kata sumber-sumber itu, Takiyuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payong, merupakan calon paling sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

Ikut jejak langkah

"Saya percaya jika pemilihan dibuat oleh parti di peringkat pusat, Husam adalah calon paling popular. Tetapi saya rasa itu (pemilihan Husham) tidak akan disenangi oleh pemimpin-pemimpin lama, yang tidak begitu gemar dengan cara dan pendekatan kerasnya (Husam)," katanya.

Beliau juga percaya Husam, yang merupakan Exco Kerajaan Negeri, akan menolak tawaran bagi jawatan tersebut sepertimana yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Husam lebih suka suka aktif di peringkat pusat dan 'membuat bising' di Dewan Rakyat. Beliau percaya peranannya akan lebih efektif di sana. Beliau juga gemar bekerja sendirian, dan inilah satu satu kelemahannya di peringkat negeri," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar, yang disifatkan sebagai calon terbaik untuk menggantikan Nik Aziz, berkata tiada masalah bagi sesiapa sahaja dipilih untuk jawatan itu kerana tetap akan mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua pemimpin negeri.

Mohd Amar mengakui sekiranya Nik Aziz meletakkan jawatan, ia merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada negeri ini. Bagaimanapun, beliau juga yakin kepimpinan parti yang ada, sudah bersedia untuk mengambil alih tugas tersebut.

"Memanglah, tiada siapapun yang boleh menggantikan Tuan Guru kerana beliau adalah pemimpin yang terulung yang datang sekali dalam kehidupan ini, tetapi saya percaya kami boleh mengikut jejaknya. Secara bersama, kami boleh mengisi ruang kosong itu," tambahnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In