1MDB yang sarat hutang berharap mendapat keuntungan hasil penjualan aset tenaga miliknya berikutan pembidaan ditutup esok, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tindakan syarikat pelaburan negara itu tidak akan mendatangkan keuntungan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung jualan itu berkata adalah besar kemungkinan 1MDB tidak akan mendapat kembali apa yang mereka bayar sebelum ini untuk mendapatkan aset tenaga itu.
“Ada yang memberitahu Tenaga Nasional Bhd (TNB) hanya akan meneruskan urus niaga jika ia adalah keputusan strategik.
“Memandangkan, Tenaga sudah disenaraikan, syarikat itu tidak mahu dilihat sebagai cuba menyelamatkan sebuah lagi dana negara,” lapor WSJ yang memetik sumber.
Menurut akhbar kewangan itu, yang memetik mereka yang rapat dalam industri berkenaan, beberapa pelabur berpontensi membeli janakuasa 1MDB termasuk TNB dan syarikat Nebras Power QSC, yang disokong oleh kerajaan Qatar manakala yang lain mula berundur ataupun tidak dipelawa menyertai bidaan terakhir itu.
“Jumlah pembida yang kecil mungkin bermakna harga yang murah untuk pusat janakuasa itu,” lapor WSJ.
“Firma asing dan tempatan lain juga meninjau Edra tetapi sama ada tidak dijemput untuk bidaan peringkat akhir ataupun mengundurkan diri.
“Masih belum jelas jika Tenaga atau Nebras Power, yang dimilik oleh Qatar Electricity and Water Co, telah memulakan bidaan mereka,” tambahnya.
Akhbar kewangan itu berkata 1MDB, Tenaga dan Nebras Power tidak menjawab permohonan mereka bagi mendapatkan ulasan.
